Akmal Cabar AMK Konsisten, Persoal Mengapa Hanya BN Jadi Sasaran Isu Kerjasama PN

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas gesaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) supaya Pakatan Harapan (PH) mengkaji semula hubungan dengan Barisan Nasional (BN), sambil mempersoalkan mengapa hanya BN dijadikan sasaran berhubung kerjasama politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, pendekatan persefahaman politik antara parti tidak sepatutnya dijadikan polemik kerana situasi hampir sama pernah berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tanpa mencetuskan tuntutan supaya hubungan dalam Kerajaan Perpaduan dikaji semula.

Akmal berkata, ketika itu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertembung dengan PH walaupun WARISAN merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan dan terdapat wakil GRS yang turut memegang jawatan Timbalan Menteri.

“Ketika itu tidak pula kedengaran desakan supaya hubungan politik dikaji semula. Jadi mengapa sekarang hanya BN yang dipersoalkan?” katanya memetik Berita Harian.

Semalam, Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim menggesa PH menilai semula kerjasama politik dengan BN di peringkat Persekutuan susulan tindakan gabungan itu menjalinkan persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Pandangan sama turut disuarakan Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Hasbie Muda yang berpendapat BN tidak mempunyai alasan untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya benar wujud kerjasama politik dengan PN.

Mengulas lanjut, Akmal turut mempersoalkan sama ada AMK akan mengambil pendirian serupa menjelang PRN Sarawak memandangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka berdepan PH di negeri itu walaupun kedua-duanya bekerjasama di peringkat Persekutuan.

“Kalau ikut logik mereka, adakah hubungan PH dengan GPS juga perlu dikaji semula apabila PRN Sarawak berlangsung nanti?” soalnya.

Dalam perkembangan sama, Akmal menegaskan beliau tetap berpegang kepada pendirian bahawa UMNO dan BN wajar meninggalkan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, tindakan itu bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan kerana pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk terus berfungsi.

“Saya sudah nyatakan sebelum ini, kita tidak mahu ‘tebuk atap’. Jika BN keluar sekali pun, kerajaan masih boleh berjalan seperti biasa,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan, BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki 11 kerusi ditandingi PN, termasuk lima kerusi oleh PAS dan empat oleh Parti WAWASAN.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kerjasama BN dengan PN di negeri itu hanyalah berbentuk persefahaman pilihan raya dan bukannya satu perjanjian politik atau gabungan rasmi.

BBerkaitan

Latest articles