Akar Umbi Mahukan Perpaduan Ketika Ini, Ahmad Zahid Nafi Takut Hilang Jawatan

KUALA LUMPUR: Kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak takut dengan jawatan dan terbuka sekiranya ia dipertandingkan.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamdi Hamidi, bagaimanapun apa yang jelas pada ketika ini adalah majoriti ahli parti mahukan perpaduan dibina semula selepas episod kekalahan dan kucar-kucir di dalam UMNO berlaku sejak kebelakangan ini.

Ahmad Zahid menegaskan, usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan datang daripada perwakilan yang mewakili akar umbi.

“Soal takut (pertandingan jawatan presiden, timbalan presiden) tidak timbul kerana perwakilan mewakili akar umbi.

“Maka akar umbi yang mahu perpaduan dan penyatuan parti,” kata Ahmad Zahid dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO selesai, hari ini.

Bahkan Ahmad Zahid berkata, beliau dan Mohamad tidak campur tangan terhadap usul tambahan yang dibawa oleh wakil dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin, semalam.

Bagaimanapun beliau mengakui terperanjat ketika perwakilan daripada Negeri Sembilan membuat usul tambahan tersebut.

“Kami terperanjat bila ada usul tambahan. Tok Mat dia bangun (bila usul itu dibuat). Saya tarik dia untuk duduk semula.

“Saya katakan dia tidak sepatutnya campur tangan. Sebab jurucakap (usul) datang dari bahagian dia. Dia tak patut campur tangan. Saya dari Bagan Datuk mungkinlan. Tapi ini datang dari Negeri Sembilan.

“Usul ini adalah ‘ori,” tegas Ahmad Zahid.

Tambah Ahmad Zahid, beliau dan timbalannya menyerahkan sepenuhnya perbahasan usul serta kelulusannya kepada perwakilan.

Beliau menegaskan, kesemua lapan usul termasuk usul tambahan berkenaan diluluskan sepenuhnya mengikut fasa dalam Peraturan dan Perlembagaan Parti.

“Jika ada berita yang menyatakan perwakilan yang tidak sah berada dalam dewan atau perkara-perkara yang tidak diikuti oleh Pengerusi Tetap, saya yakin perkara itu telah mendapat nasihat Penasihat Undang-Undang UMNO sendiri dan merupakan Pengerusi Disiplin UMNO.

“Dan tentutnya sebagai pengamal undang-undang, penasihat undang-undang UMNO dan Pengerusi Disiplin UMNO pasti lebih tahu bahawa perjalanan mesyuarat dan peraturan yang diikuti dibuat mengikut apa yang termaktub dalam Perlembahaan dan Peraturan Mesyuarat,” kata Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau menyerahkan kepada Pengerusi Disiplin untuk membuat tindakan sekiranya terdapat pihak yang masih mahu bertanding kedua-dua jawatan.

Usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 hari ini.

BBerkaitan

Latest articles