KUALA LUMPUR: Setiap teguran membina terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diterjemahkan kepada tindakan yang bertanggungjawab, bukannya terus dijadikan bahan polemik berpanjangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan institusi yang menjadi amanah besar umat Islam berkenaan terus kukuh, dipercayai dan mampu berfungsi demi kepentingan jemaah serta rakyat.
Menurut beliau, ruang untuk membahaskan dan memperjelas segala persoalan berkaitan TH sudah diberikan menerusi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini, susulan pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi berkenaan.
Katanya, segala persoalan, teguran dan penemuan wajar dibincangkan secara matang agar isu berhubung TH dapat dirungkai berdasarkan fakta dan bukti.
“Mudah-mudahan selepas ini, tiada lagi pihak yang memilih untuk melemparkan tuduhan keterlaluan atau membina persepsi tanpa bersandarkan kebenaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyeru semua pihak agar mengutamakan kebijaksanaan dan keikhlasan dalam menangani isu berkaitan TH.
Beliau berkata, pendekatan tersebut penting supaya setiap keputusan yang dibuat benar-benar menjurus kepada kemaslahatan umat Islam serta kepentingan negara.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung laporan RCI TH diadakan selepas kerajaan memutuskan untuk mendedahkan laporan berkenaan kepada umum pada 29 Julai lalu.
Pendedahan itu membolehkan Ahli Parlimen meneliti serta membahaskan penemuan dan syor yang dikemukakan suruhanjaya berkenaan.
Laporan RCI mendedahkan beberapa kelemahan dalam aspek pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor penambahbaikan.
Setakat 30 Julai lalu, sebanyak 75 peratus daripada syor berkenaan dilaporkan telah dilaksanakan oleh TH.










