Ahli Perniagaan Beli Rumah RM2.3 Juta Dakwa 29 Barangan Hilang, Saman Pemimpin Parti Politik

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mendakwa 29 barangan yang sepatutnya disertakan bersama sebuah unit kondominium bernilai RM2.3 juta didapati hilang selepas penyerahan milikan kosong, menyebabkan beliau memfailkan saman terhadap seorang pemimpin parti politik.

Plaintif pertama, Datuk Nooraini Abu Bakar, 62, berkata unit lengkap berperabot di The Park Residence 1, Bangsar South itu dibeli bersama suami dan anaknya daripada defendan, Datuk Zainol Abidin Mohamed.

Memberikan keterangan di hadapan Majistret Fatin Mohd Nor hari ini, Nooraini berkata beliau mendapati pelbagai barangan yang disenaraikan dalam inventori asal telah dibawa keluar, termasuk katil dan tilam, meja bankuet, kabinet serta set pisau.

Menurutnya, beliau menghubungi defendan pada 11 September 2024 bagi menuntut semua barangan berkenaan dipulangkan.

Bagaimanapun, katanya, defendan memaklumkan barangan itu sukar dikembalikan kerana berada di beberapa lokasi berbeza, selain sebahagiannya didakwa sudah lusuh dan tidak lagi boleh digunakan.

“Dalam masa sama, defendan juga sering memberi jawapan yang berubah-ubah sehingga saya memaklumkan bahawa perkara ini akan dibawa ke mahkamah,” katanya ketika prosiding.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif membeli unit berkenaan menerusi Perjanjian Jual Beli (SNP) yang dimeterai pada 11 Disember 2023 dengan nilai kira-kira RM2.3 juta dan ia dipersetujui untuk dijual bersama kelengkapan serta perabot seperti disenaraikan dalam inventori.

Namun selepas menerima milikan kosong, plaintif mendakwa beberapa perabot dan kelengkapan yang sepatutnya kekal di dalam unit itu didapati telah dikeluarkan.

Plaintif turut mendakwa defendan pada mulanya bersetuju memulangkan semula item terbabit, namun gagal menghubungi mereka semula bagi menyelesaikan pertikaian berkenaan.

Susulan itu, melalui peguam terdahulu, plaintif mengeluarkan Notis Tuntutan bertarikh 6 Mac 2025 yang antaranya menuntut defendan membayar nilai anggaran barangan yang didakwa hilang mengikut senarai inventori.

Dalam tuntutan saman itu, plaintif memohon mahkamah mengarahkan defendan memulangkan semua barangan yang didakwa hilang atau, sebagai pilihan, membayar RM80,000 atau apa-apa jumlah yang akan ditentukan oleh mahkamah sebagai nilai barangan berkenaan.

Selain itu, plaintif turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, faedah lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman sehingga penyelesaian penuh, kos tindakan serta apa-apa relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

BBerkaitan

Latest articles