Abang Jo Angkat Sumpah KM Sarawak

KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg malam ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak, selepas gabungan empat parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Beliau lengkap berpakaian baju Melayu serba hitam, dengan mengangkat sumpah jawatannya di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri.

Turut hadir isteri Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan isteri Abang Johari, Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Hadir sama menyaksikan upacara itu ialah Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Timbalan Ketua Menteri dalam barisan Kabinet sebelum ini.

Ini kali kedua Abang Johari, yang hari ini memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada PRN12, dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Kali pertama adalah pada 13 Januari 2017, sebagai menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Beliau kemudiannya mengetuai GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), untuk pertama kali bertanding pada PRN menggunakan lambang sendiri.

BBerkaitan

Latest articles