Chandra Muzaffar Meninggal Dunia Pada Usia 79 Tahun

KUALA LUMPUR: Dunia akademik dan politik tanah air kehilangan seorang tokoh apabila cendekiawan sains politik serta aktivis hak asasi manusia, Dr Chandra Muzaffar meninggal dunia pada usia 79 tahun, petang ini.

Pemergian Allahyarham sekitar jam 6 petang itu disahkan cucunya yang memaklumkan beliau sebelum itu dikejarkan ke hospital akibat masalah jantung.

Berita kematian tokoh akademik dan penganalisis politik berkenaan turut disahkan pegawainya ketika dihubungi hari ini.

Pemergian Chandra turut dimaklumkan menerusi kenyataan Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST), organisasi yang dipimpinnya sebagai presiden, melalui satu hantaran di Facebook.

JUST dalam kenyataan itu menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan pemimpin berkenaan dan memaklumkan maklumat lanjut mengenai urusan pengebumian akan diumumkan kemudian.

“Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan keberkatan ke atas roh Allahyarham serta menempatkan beliau dalam kalangan orang yang soleh,” menurut kenyataan itu.

Allahyarham merupakan antara tokoh penting dalam penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pernah menyandang jawatan Naib Presiden parti berkenaan.

Selain aktif dalam arena politik, Chandra turut dikenali menerusi sumbangannya dalam bidang hak asasi manusia, keadilan sosial, dialog antara agama serta hubungan antara peradaban.

Pemergian beliau meninggalkan legasi panjang dalam dunia pemikiran, akademik dan wacana sosial negara.

BBerkaitan

Latest articles