Polis Tahan Seorang Lagi Pegawai TUDM, 4 Individu Berhubung Sindiket Seludup Dadah

KUALA LUMPUR: Siasatan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan yang dipercayai mengeksploitasi aset ketenteraan terus berkembang apabila seorang lagi pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan empat orang awam ditahan semalam.

Penahanan terbaharu itu menjadikan keseluruhan 18 individu diberkas, membabitkan lapan pegawai dan anggota TUDM serta 10 orang awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata tangkapan dilakukan hasil risikan berterusan dan soal siasat terhadap 13 suspek yang ditahan sebelum ini bagi mengesan dalang utama sindiket.

Pegawai TUDM berusia 29 tahun yang bertugas di TUDM Tawau, Sabah, ditahan di pekarangan pejabat Cawangan Penyiasatan Jenayah Zon Tengah, Pangkalan Udara Subang, kira-kira 6.40 petang.

Susulan itu, polis melakukan beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang pada 10.20 malam sebelum menahan tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 28 tahun serta seorang lelaki warga China berusia 30 tahun.

Hussein berkata, lapan daripada keseluruhan suspek sudah didakwa di mahkamah di Kuala Lumpur dan Selangor hari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala lima lagi masih direman.

Siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama dan individu lain yang terbabit dalam rangkaian penyeludupan itu.

Sindiket berkenaan terbongkar selepas polis menemukan 96.64 kilogram dadah disyaki metamfetamina bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram bahan kimia yang dipercayai hendak dimuatkan ke dalam sebuah pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang.

Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan menggunakan kemudahan pengangkutan udara tentera untuk membawa dadah dari Semenanjung ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, termasuk Filipina dan Indonesia. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles