KUALA LUMPUR: DAP menuntut semua pemimpin politik diberikan layanan sama rata dalam proses siasatan pihak berkuasa susulan tiga pemimpinnya dipanggil memberi keterangan berhubung beberapa isu berasingan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata parti itu berdiri teguh bersama Tony Pua, Khoo Poay Tiong dan Yap Yee Vonne yang didakwa hanya menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan pemimpin dengan membangkitkan perkara berkepentingan kepada masyarakat.
Beliau berkata, DAP tidak mempunyai masalah untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan yakin ketiga-tiga pemimpin terbabit akan mematuhi proses undang-undang.
Bagaimanapun, katanya, kedudukan DAP sebagai sebahagian daripada kerajaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak memberikan layanan istimewa kepada pemimpinnya, sama ada dalam siasatan mahupun penguatkuasaan undang-undang.
Pada masa sama, Loke mengingatkan pihak berkuasa supaya memastikan prinsip keadilan dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira latar belakang atau parti politik individu yang disiasat.
Beliau turut menggesa tahap kesegeraan dan standard siasatan yang sama diterapkan terhadap kes membabitkan pemimpin parti politik lain.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, hadir ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung hantaran Facebook bertarikh 18 November yang memaparkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan keputusan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, turut dijadual memberikan keterangan kepada polis berhubung hantaran Facebook yang mempersoalkan arahan penutupan premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika solat Jumaat.
Seorang lagi pemimpin parti itu, Yap Yee Vonne yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, pula hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi memberikan keterangan berhubung isu lanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).










