SEREMBAN: Ketua UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang rasa kecewa meskipun tidak dipilih mengisi jawatan Menteri Besar, sebaliknya menghormati keputusan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengekalkan Datuk Seri Ismail Lasim menerajui kerajaan negeri.
Jalaluddin yang sebelum ini turut disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi menggantikan Ismail berkata, pelantikan Menteri Besar merupakan hak prerogatif Tuanku Muhriz sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri Sembilan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu, semua pihak perlu menerima dan menghormati keputusan institusi diraja, selain mengutamakan kesetiaan kepada Yang Dipertuan Besar bagi memastikan kemelut politik negeri tidak kembali berulang.
“Saya okay dan saya tidak mempunyai sebarang rasa kekecewaan dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan semua pihak mengelakkan tindakan atau perbezaan pendirian yang boleh mencetuskan semula ketidaktentuan politik serta menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri.
Terdahulu, kemelut politik Negeri Sembilan kembali memuncak minggu lalu apabila Barisan Nasional (BN) mengumumkan peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar.
Perkembangan itu berlaku selepas beberapa bulan negeri berkenaan berdepan ketegangan politik susulan gerakan untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri, yang dikaitkan dengan sokongan Ismail bersama beberapa bekas anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Susulan perkembangan itu, kesemua 10 anggota Exco ketika pentadbiran Ismail sebelum ini dipecat oleh Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, Ismail menafikan sudah mengemukakan peletakan jawatannya kepada pihak istana, sekali gus membawa kepada pertemuan beliau bersama kepimpinan tertinggi BN dengan Tuanku Muhriz semalam.
Kemelut berkenaan akhirnya menyaksikan Ismail kekal sebagai Menteri Besar apabila enam Exco baharu mengangkat sumpah jawatan hari ini.
Pelantikan itu membabitkan empat ADUN BN dan dua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN), sekali gus membentuk semula barisan pentadbiran kerajaan negeri.










