Belanjawan Pahang 2027 Sentuh Kebajikan Rakyat Dari Lahir Hingga Akhir Hayat

KUANTAN: Kebajikan rakyat merentasi semua peringkat kehidupan menjadi fokus Belanjawan Pahang 2027, dengan kerajaan negeri memastikan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat menerusi pelbagai inisiatif termasuk pendidikan, bantuan sosial dan sokongan kepada golongan muda.

Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Datuk Mohd Farid Mohd Nor, berkata belanjawan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk terus mengutamakan kesejahteraan rakyat, selain memperkukuh pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan masa depan negeri.

Menurutnya, pendekatan mesra rakyat dan berkebajikan yang diterapkan dalam belanjawan tahunan negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan jangka panjang, khususnya dalam menyediakan peluang serta sokongan kepada generasi akan datang.

“Secara rangkumannya, kalau boleh kita lihat semua golongan menerima manfaat daripada belanjawan yang kita sediakan ini, di mana bayi yang baru lahir sehingga mereka yang meninggal dunia mendapat sentuhan daripada Kerajaan Negeri Pahang.

“Kalau saya lihat di media sosial sebagai contoh, terdapat beberapa inisiatif baharu yang mendapat sambutan rakyat, antaranya deposit bagi sewaan rumah kepada golongan muda,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan masa depan merupakan strategi penting bagi memastikan Pahang terus berkembang serta mampu menghadapi cabaran mendatang.

Farid turut menyifatkan sokongan sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap belanjawan berkenaan sebagai satu perkembangan positif yang membolehkan kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan dan memastikan hasil negeri dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.

Mengulas kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat, beliau berkata kerajaan negeri bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya Parlimen dibubarkan.

Bagaimanapun, katanya, Belanjawan Pahang 2027 tidak seharusnya dilihat sebagai sebahagian daripada persiapan politik menghadapi pilihan raya, sebaliknya merupakan kesinambungan dasar kebajikan yang dilaksanakan kerajaan negeri setiap tahun.

Beliau menjelaskan peruntukan bagi pelbagai inisiatif kebajikan turut meningkat seiring pertambahan hasil negeri, bagi memastikan lebih banyak program dapat dilaksanakan untuk rakyat.

Dalam perkembangan sama, Farid berkata sebarang keputusan atau pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pahang berhubung hal politik akan diselaraskan dengan keputusan kepimpinan di peringkat nasional.

Beliau turut berharap rakyat dapat menilai keupayaan kerajaan negeri berdasarkan prestasi pentadbiran, keberkesanan dasar serta perancangan pembangunan jangka panjang yang telah dirangka sehingga 2030.

Katanya, kesinambungan kepimpinan dan dasar pembangunan perlu dikekalkan bagi memastikan pelaksanaan projek serta agenda pembangunan negeri berjalan lancar tanpa terganggu akibat perubahan pentadbiran.

BBerkaitan

Latest articles