55 Laporan Polis Terhadap Tony Pua, Isu Minit Pengampunan Najib Disiasat

KUALA LUMPUR: Penyiaran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kini menjadi tumpuan siasatan polis selepas 55 laporan dibuat terhadap pemimpin DAP, Tony Pua.

Pua mengesahkan beliau dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman berhubung hantaran Facebook bertarikh 18 November lalu yang memaparkan beberapa halaman minit mesyuarat berkenaan dalam terjemahan bahasa Inggeris.

Beliau berkata, keterangannya direkodkan seorang pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dan beliau memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses berkenaan.

Menurutnya, polis turut mendapatkan penjelasan sama ada beliau mengetahui status dokumen itu sebelum memuat naik kandungannya di media sosial.

Pua menegaskan beliau terlebih dahulu membuat semakan dan mendapati minit mesyuarat berkenaan sudah dinyahklasifikasikan.

“Saya katakan bahawa saya sudah semak dan memang minit mesyuarat itu sudah dinyahklasifikasikan,” katanya menurut laporan Bernama.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, memaklumkan sebanyak 55 laporan polis diterima berhubung tindakan Pua menyiarkan dokumen berkenaan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkaitan pendedahan maklumat yang diperoleh ketika menjalankan tugas rasmi tanpa kebenaran serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum ini mengarahkan supaya segala sumber digunakan bagi menyiasat kemungkinan berlaku kebocoran minit mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, tindakan itu susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya polis menyiasat bagaimana dokumen berkenaan boleh tersebar.

Saifuddin turut menjelaskan minit mesyuarat itu dinyahklasifikasikan bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara menyediakan afidavit untuk menjawab permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan Majlis Peguam Malaysia.

Anwar sebelum ini menafikan kerajaan mengedarkan dokumen berkenaan dan meminta Kementerian Dalam Negeri menyiasat bagaimana minit mesyuarat itu boleh berada dalam edaran lebih awal.

BBerkaitan

Latest articles