Enam EXCO Baru Ikrar Taat Setia Kepada Tuanku Muhriz, Jawatan Gugur Serta-merta Jika Langgar Sumpah

KUALA PILAH: Enam EXCO Negeri Sembilan yang baharu dilantik diwajibkan menjunjung ikrar taat setia kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan institusi diraja, dengan jawatan masing-masing terbatal serta-merta sekiranya melanggar sumpah berkenaan.

Enam Exco itu dilantik di bawah kepimpinan Datuk Ismail Lasim selaku Menteri Besar Negeri Sembilan.

Ketetapan itu terkandung dalam lafaz sumpah jawatan yang dibacakan pada Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah EXCO di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Menerusi lafaz berkenaan, keenam-enam EXCO turut berikrar memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

“Sekiranya saya melanggar sumpah saya di atas, maka gugurlah jawatan ini serta-merta,” menurut lafaz sumpah itu.

Ikrar berkenaan turut menyebut secara khusus nama Tuanku Muhriz, termasuk komitmen untuk memberikan nasihat kepada baginda dengan sedaya upaya bagi memastikan kelancaran dan kesempurnaan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Selain itu, mereka turut berjanji menjaga kerahsiaan segala perkara yang dibawa untuk pertimbangan atau diketahui sepanjang menjalankan tugas sebagai EXCO, kecuali bagi memenuhi kewajipan rasmi atau dengan perkenan khas baginda.

Pelantikan enam EXCO yang kesemuanya muka baharu itu turut menyaksikan perubahan struktur pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan berbanding barisan terdahulu yang mempunyai 10 anggota, susulan kemelut politik dan institusi diraja yang melanda negeri itu.

Enam ADUN yang mengangkat sumpah ialah ADUN Kota, Suhaimi Aini; Datuk Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang); Ridzuan Ahmad (Gemas); Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang); Qayyum Abd Jalil (Senaling) dan Koh Kim Swee (Repah).

Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Hadir sama Undang Luak Sungei Ujong, Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid; Undang Luak Jelebu, Azrin Khairi serta Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

BBerkaitan

Latest articles