Gabungan Luxon Hilang Majoriti, Parti Kecil Jadi Penentu Kerajaan New Zealand

WELLINGTON: Gabungan kerajaan pimpinan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon kehilangan majoriti di Parlimen selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum (PRU) negara itu diumumkan pada Jumaat.

Keputusan akhir tersebut menyaksikan gabungan kanan-tengah yang terdiri daripada Parti National, ACT New Zealand dan New Zealand First hanya memperoleh 65 daripada keseluruhan 130 kerusi Parlimen, kurang satu kerusi daripada majoriti mudah yang diperlukan.

Perkembangan itu sekali gus meletakkan kerajaan Luxon dalam ketidaktentuan politik apabila memerlukan sokongan parti lain untuk terus membentuk kerajaan.

Menurut laporan Reuters yang memetik keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya New Zealand, Parti National pimpinan Luxon memperoleh 40 kerusi, manakala rakan gabungannya, ACT dan New Zealand First masing-masing memenangi 13 dan 12 kerusi.

Sementara itu, Parti Labour selaku pembangkang utama memperoleh 36 kerusi, diikuti Green Party (17), Opportunity Party (tujuh) dan Te Pāti Māori (lima).

Kemunculan Opportunity Party sebagai parti baharu di Parlimen dengan tujuh kerusi menjadikannya antara pemain penting dalam menentukan pembentukan kerajaan seterusnya.

Pemimpin parti itu, Qiulae Wong berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan parti yang memperoleh jumlah kerusi terbesar, iaitu National.

“Saya fikir tiada siapa boleh menolak sebarang kemungkinan pada peringkat ini kerana kami belum mengadakan sebarang perbincangan,” katanya pada sidang media.

Beliau turut menegaskan bahawa semua pilihan masih terbuka, termasuk kemungkinan parti itu tidak menyertai mana-mana gabungan kerajaan.

“Kami akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk,” katanya.

Opportunity Party membawa beberapa agenda antaranya komitmen lebih tegas terhadap perubahan iklim, larangan aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah bottom trawling, memperketat peraturan persaingan perniagaan serta meningkatkan campur tangan kerajaan dalam pelaburan awam.

Bagaimanapun, beberapa pendirian parti itu dilihat bercanggah dengan dasar rakan gabungan kerajaan sedia ada, khususnya berkaitan isu alam sekitar dan ekonomi.

Dalam perkembangan sama, Ketua ACT, David Seymour berkata, pembentukan kerajaan boleh dilakukan dalam tempoh singkat sekiranya parti terbabit mencapai persetujuan.

“Kerajaan boleh dibentuk sekiranya gabungan itu bersedia untuk bekerjasama dengan Opportunity pada tahap tertentu,” katanya dalam temu bual bersama penyiar 1News.

Keputusan akhir itu berbeza daripada keputusan awal pilihan raya pada 7 November lalu yang memberikan gabungan kerajaan majoriti dua kerusi.

Perubahan tersebut berlaku selepas undi khas, termasuk undi rakyat New Zealand yang berada di luar negara dan mengundi di luar kawasan pilihan raya masing-masing, selesai dikira.

Suruhanjaya Pilihan Raya merekodkan sebanyak 2,931,604 undi keseluruhan, termasuk 484,865 undi khas.

Reuters melaporkan, sekiranya Luxon gagal mencapai persetujuan dengan Opportunity dan rundingan parti-parti lain juga tidak menghasilkan kerajaan majoriti, New Zealand berkemungkinan terpaksa mengadakan pilihan raya baharu.

BBerkaitan

Latest articles