Tiada Peruntukan Khas Untuk PIBG Sekolah

KUALA LUMPUR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak menerima peruntukan khusus tahunan daripada kerajaan bagi membiayai keperluan serta program sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, peruntukan yang diluluskan kerajaan kepada KPM setiap tahun pada asasnya digunakan untuk pengoperasian sekolah dan pelaksanaan aktiviti murid di bawah kementerian itu.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, peruntukan yang diluluskan kepada KPM oleh Kerajaan setiap tahun adalah secara dasarnya bagi tujuan pengoperasian sekolah-sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pelajar di bawah KPM.

“Buat masa ini, tiada peruntukan khusus yang diluluskan oleh Kerajaan kepada KPM sebagai dana khas kepada PIBG di sekolah-sekolah bawah KPM,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini, berhubung kesediaan kementerian mewujudkan peruntukan khusus tahunan secara langsung kepada PIBG di setiap sekolah, terutama di luar bandar dan pedalaman.

Ahmad Johnie turut membangkitkan keperluan supaya PIBG tidak terus bergantung kepada sumbangan ibu bapa bagi membiayai keperluan serta program sekolah.

Mengulas peranan PIBG, Fadhlina berkata, persatuan itu ditubuhkan di bawah Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-Guru) 1998 dan memainkan peranan penting dalam menyokong guru serta pihak sekolah.

Menurutnya, PIBG boleh membantu melalui pelbagai inisiatif termasuk membiayai kelas tambahan, menyediakan modul latihan dan menyokong aktiviti kokurikulum.

Katanya, usaha itu bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah murid, malah meringankan beban guru supaya dapat memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Selain itu, PIBG juga boleh menyumbang kepada penyediaan kemudahan dan prasarana sekolah yang kondusif, termasuk peralatan PdP seperti papan pintar serta teknologi terkini.

Peranan berkenaan turut dilengkapi inisiatif Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) yang menggalakkan kerjasama lebih luas membabitkan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta.

Melalui inisiatif itu, aspek keselamatan fizikal, psikologi dan digital murid turut diberi perhatian bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat serta sejahtera.

BBerkaitan

Latest articles