KUALA LUMPUR: Kesucian ibadah solat tidak boleh dikompromi atau dijadikan bahan jenaka demi meraih perhatian, apatah lagi apabila kandungan sedemikian disiarkan secara terbuka sehingga menyinggung sensitiviti umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan, menegaskan tindakan sebuah stesen radio tempatan mengaitkan ibadah solat dengan perlawanan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.
Beliau berkata, solat merupakan tiang agama serta syiar suci umat Islam yang wajib dihormati dan dipelihara daripada sebarang unsur penghinaan atau tindakan mempermainkan ibadah berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengamal media dan pencipta kandungan supaya tidak melampaui batas dalam berkarya sehingga menyentuh sensitiviti agama serta perkara asas akidah.
Katanya, kebebasan bersuara dan berkarya bukan lesen untuk menghasilkan kandungan yang mempersendakan ritual keagamaan, apatah lagi sehingga mencetuskan kemarahan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
Dalam perkembangan sama, Zulkifli menggesa pihak stesen radio terbabit segera menurunkan kandungan berkenaan serta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam.
Beliau turut menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, semua pengamal media serta pencipta kandungan diingatkan agar sentiasa peka terhadap sensitiviti keagamaan dan mematuhi garis panduan penyiaran yang ditetapkan.
“Kebebasan berkarya dan bersuara tidak sesekali menghalalkan tindakan mempersendakan ritual ibadah atau menyentuh perkara asas akidah yang boleh mengundang kemarahan serta menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sebuah stesen radio tempatan mencetuskan kecaman pengguna media sosial selepas memuat naik video memaparkan dua individu sedang menunaikan solat dengan kapsyen ‘Praying for Man United’ susulan perlawanan Manchester United menentang Sporting CP.
Rakaman itu mengundang pelbagai reaksi kerana menggunakan gambaran ibadah solat sebagai elemen kandungan hiburan berkaitan bola sepak, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai batas sensitiviti agama dalam penghasilan kandungan media.
Zulkifli mengajak semua pihak agar terus memelihara adab, menghormati kesucian agama serta menjadikan platform media sebagai medium mendidik dan menyatukan masyarakat.










