KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Omar Mustapha mempersoalkan laporan bahawa Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, tidak berminat menyambung penggal kedua sebagai Senator apabila tempoh pelantikannya tamat pada 11 Disember ini.
Beliau berkata, sekiranya laporan itu benar, keputusan berkenaan menimbulkan persoalan politik, khususnya ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal berdepan cabaran melaksanakan Belanjawan 2027 menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menerusi hantaran di Facebook, Omar berkata, Amir bukan ahli politik sebaliknya seorang profesional korporat yang dipilih sendiri oleh Perdana Menteri untuk membantu mengurus kewangan negara.
Menurutnya, dengan keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu, sukar dibayangkan Perdana Menteri tidak mahu mengekalkan khidmat Amir pada ketika ini.
“Orang Inggeris berkata, ‘You don’t change horses in midstream.’
“Tetapi bagaimana jika kuda itu sendiri tidak mahu meneruskan perjalanan?” katanya.
Omar berkata, beliau menghormati hak Amir untuk menentukan hala tujunya sendiri dan tidak mahu membuat sebarang andaian mengenai sebab di sebalik keputusan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan masa seseorang memilih untuk meninggalkan jawatan turut membawa makna tersendiri dalam konteks politik.
“Jika laporan itu benar, mengapa Amir tidak mahu meneruskan khidmatnya pada saat Perdana Menteri paling memerlukannya?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri mahu meyakinkan rakyat bahawa hala tuju ekonomi kerajaan masih berada di landasan yang betul sekiranya individu yang dipilih sendiri untuk mengemudinya memilih untuk tidak meneruskan tugas.
“Apakah isyaratnya jika orang kepercayaan Perdana Menteri sendiri tidak mahu meneruskan tugas mengurus ekonomi negara, ketika kerajaan semakin hampir ke saat mempertahankan rekod ekonominya di peti undi?” katanya.
Terdahulu, The Edge dalam laporannya yang memetik sumber tidak dinamakan menyebut Amir tidak berminat menyambung penggal kedua sebagai Senator apabila tempoh pelantikannya berakhir pada 11 Disember ini.










