KUALA LUMPUR: Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur kepada tekanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sehingga menyebabkan PKR menarik diri daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak disifatkan sebagai pengorbanan demokrasi demi kepentingan politik di peringkat Persekutuan.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa, tindakan itu menunjukkan pengaruh besar GPS sehingga mampu mempengaruhi keputusan parti Perdana Menteri untuk tidak bertanding dalam pilihan raya berkenaan.
“Jelas sekali, PMX telah akur kepada ancaman GPS dan menarik diri daripada pilihan raya negeri sebagai balasan kepada sokongan berterusan pihak yang kedua dalam kerajaan Persekutuan.
“Bagi saya, ini mengorbankan demokrasi di Sarawak demi sokongan politik di peringkat Persekutuan,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.
Menurutnya, perkembangan itu turut memperlihatkan dominasi GPS dalam landskap politik negeri berkenaan apabila parti Perdana Menteri sendiri didakwa akur kepada tuntutan supaya tidak bertanding dalam PRN Sarawak.
“Lebih penting lagi, perkara ini seterusnya menunjukkan hegemoni GPS. Malah, parti Perdana Menteri juga boleh ditekan oleh GPS dan akur kepada tuntutan untuk menarik diri daripada pilihan raya.
“Jika GPS boleh membuat Perdana Menteri memutuskan untuk menarik diri daripada pilihan raya, apakah lagi yang tidak dapat atau tidak mampu dilakukan oleh GPS? Ini hampir menyamai kuasa mutlak di negara ini,” katanya.
Chong turut mempersoalkan mengapa GPS tidak menggunakan pengaruh politiknya untuk mendesak Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pelaksanaan tuntutan berkaitan kepentingan rakyat Sarawak, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, jika GPS mampu membuat Perdana Menteri akur sehingga PKR menarik diri daripada keseluruhan PRN, pengaruh sama sepatutnya boleh digunakan untuk memperjuangkan lebih banyak perkara yang memberi manfaat kepada rakyat negeri itu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan DAP Sarawak akan tetap bertanding pada PRN akan datang meskipun PKR mengambil keputusan menarik diri.
Katanya, DAP Sarawak mempunyai autonomi untuk menentukan keputusan terbaik bagi negeri itu dan percaya kehadiran pembangkang yang kuat penting bagi memastikan mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan GPS terus berfungsi.
“Kita tidak seharusnya membenarkan GPS mempunyai kawalan mutlak ke atas DUN Sarawak tanpa pembangkang langsung.
“Kita mesti sentiasa ingat bahawa kuasa mutlak korup secara mutlak. Kita memerlukan pembangkang yang lebih kuat untuk menyediakan semak dan imbang yang diperlukan ke atas GPS,” katanya.










