KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan keperluan membentangkan laporan penuh Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung pemilikan dan pengisytiharan harta, termasuk pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, laporan siasatan jawatankuasa khas yang ditubuhkan pada 13 Februari 2026 itu telah selesai dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Menurutnya, pertimbangan untuk membentangkan laporan penuh berkenaan perlu mengambil kira peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kerajaan akan mempertimbangkan perkara tersebut sewajarnya, sekiranya terdapat keperluan, dengan mengambil kira peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, khususnya berkaitan perlindungan maklumat peribadi, kerahsiaan dokumen siasatan dan rekod perisytiharan harta, serta kepentingan pihak-pihak yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) yang meminta Perdana Menteri menyatakan keputusan Jemaah Menteri terhadap laporan jawatankuasa khas berhubung pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang diteliti pada 11 Mac 2026.
Wee turut meminta penjelasan sama ada laporan berkenaan dan hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dakwaan ‘mafia korporat’ akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, sebarang perkembangan atau keputusan rasmi berhubung perkara itu yang wajar dimaklumkan kepada umum akan diumumkan oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Katanya, perkara itu selaras dengan kenyataan media yang dikeluarkan pejabat berkenaan pada 31 Mac 2026.
“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, soalan berhubung perkara ini juga pernah dijawab di Dewan Rakyat pada 29 Oktober 2026,” katanya.










