KUALA LUMPUR: Malaysia masih bergantung hampir sepenuhnya kepada bekalan biji koko import apabila 99.99 peratus daripada keperluan industri pengisaran negara pada 2025 diperoleh dari luar negara.
Daripada keseluruhan 294,697 tan biji koko yang dikisar sepanjang tahun lalu, hanya 281 tan atau 0.01 peratus dibekalkan daripada pengeluaran tempatan, manakala baki 294,416 tan merupakan biji koko import.
Sehubungan itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyasarkan peluasan kawasan tanaman koko negara kepada 10,000 hektar menjelang 2030 bagi meningkatkan pengeluaran tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar.
Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, sasaran berkenaan dilaksanakan menerusi Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030) yang turut menetapkan peningkatan hasil biji koko kering daripada 0.2 tan sehektar pada 2025 kepada 0.56 tan sehektar menjelang 2030.
Menurutnya, sehingga September 2026, keluasan keseluruhan kawasan tanaman koko negara mencapai 6,939 hektar selepas lebih 400 hektar kawasan tanaman baharu berjaya dibangunkan.
Bagi merealisasikan sasaran itu, KPK melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) melaksanakan lima pendekatan utama merangkumi peluasan kawasan tanaman dengan penglibatan sektor perladangan, pemulihan kebun sedia ada serta peningkatan produktiviti menerusi penyelidikan dan teknologi.
Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama antara pengeluar dengan industri pengisaran serta penghasilan biji koko premium dan produk bernilai tinggi.
Dalam usaha memulihkan kebun sedia ada, program berkenaan membabitkan kawasan tanaman seluas 2,126 hektar, manakala seramai 3,295 pekebun kecil koko menerima bantuan input pertanian bagi meningkatkan produktiviti tanaman masing-masing.
Penggunaan teknologi pertanian moden, pengurusan nutrien secara sistematik serta kaedah kawalan penyakit dan perosak lebih berkesan turut diberi penekanan bagi meningkatkan hasil pengeluaran selain mengurangkan kos operasi.
Pada masa sama, kerajaan mahu memperluas pengeluaran koko premium seperti single-origin cocoa dan fine-flavour cocoa yang berpotensi memperoleh harga lebih tinggi di pasaran domestik serta antarabangsa.
Kementerian berkata, usaha meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan bukan hanya bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada import, malah untuk membangunkan semula sektor huluan koko negara.
Langkah itu juga dijangka membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil, membuka peluang pekerjaan serta memastikan industri koko Malaysia terus berdaya saing dan mampan.










