Saifuddin Hargai Sokongan Sarawak Kekalkan Kestabilan Politik Negara

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menghargai komitmen dan sokongan Sarawak terhadap usaha Kerajaan Persekutuan memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pentadbiran negara.

Beliau berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika kunjungan beliau ke negeri itu pada Isnin.

Menurut Saifuddin, pertemuan berkenaan turut membincangkan beberapa perkara berkepentingan bersama membabitkan isu keselamatan, politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kami bersetuju bahawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat harus terus menjadi keutamaan.

“Semangat saling menghormati, persefahaman dan kepercayaan perlu terus menjadi asas hubungan Persekutuan-Sarawak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, kerjasama serta persefahaman antara kedua-dua pihak amat penting bagi membolehkan kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan ekonomi.

Beliau berkata, ia termasuk pelaksanaan reformasi dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

BBerkaitan

Latest articles