KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengeluarkan notis kepada semua pengendali pusat data di Malaysia supaya tidak mengehoskan, menyewakan ruang kepada atau menyediakan perkhidmatan kepada tujuh entiti yang dimasukkan ke dalam Senarai Entiti Amerika Syarikat (AS).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan itu susulan peraturan akhir yang dikeluarkan Biro Industri dan Keselamatan (BIS), Jabatan Perdagangan AS pada 23 Nov 2026.
Daripada tujuh entiti berkenaan, dua disenaraikan di bawah Malaysia iaitu Speedmatrix Sdn Bhd dan MSFusion Sdn Bhd.
Menurut MITI, Speedmatrix merupakan anak syarikat milik penuh Megaspeed International Pte Ltd yang diperbadankan di Singapura.
“Berdasarkan rekod MIDA, PT Megaspeed International bukanlah satu entiti di Malaysia dan juga bukan pengendali pusat data atau penyewa pusat data yang beroperasi di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
MITI berkata, Malaysia kekal komited memastikan persekitaran perdagangan yang selamat, telus dan berasaskan peraturan serta tidak membenarkan negara digunakan sebagai saluran untuk memintas kawalan eksport.
“Tindakan akan diambil terhadap pihak yang didapati melanggar mana-mana undang-undang,” menurut kenyataan itu.










