WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan keputusan lembaga pengarah Nvidia mengembalikan Jensen Huang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu sebagai langkah tepat dan tidak menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.
Trump berkata, kerajaan AS tidak mempunyai alasan untuk mempercayai kepulangan Huang ke syarikat pengeluar cip kecerdasan buatan (AI) itu boleh mengancam keselamatan negara.
Menurutnya, Peguam Negara AS, Todd Blanche turut mengesahkan bahawa kerajaan persekutuan tidak mempunyai bukti Huang melakukan sebarang perbuatan menyalahi undang-undang.
“Kerajaan Amerika Syarikat tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kepulangan Jensen ke Nvidia menimbulkan sebarang risiko terhadap keselamatan negara,” katanya menerusi hantaran di platform Truth Social pada Isnin.
Trump turut menyifatkan Huang sebagai seorang patriot dan aset penting negara, selain menegaskan kepimpinannya diperlukan bagi memastikan kejayaan serta kemakmuran Nvidia dan ekonomi AS.
“The country needs Jensen’s leadership at Nvidia to ensure the success and prosperity of not only the company, but the American economy,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Nvidia mengumumkan Huang dikembalikan sebagai Presiden dan CEO syarikat berkuat kuasa serta-merta pada 23 November.
Lembaga pengarah Nvidia dilaporkan membuat keputusan sebulat suara selepas mengadakan beberapa perbincangan dan mesyuarat bersama Huang.
Keputusan itu turut mengambil kira pandangan pegawai kanan kerajaan AS yang, menurut Nvidia, memberikan keyakinan bahawa kepulangan Huang tidak menimbulkan risiko keselamatan negara.
Huang sebelum ini meletakkan jawatan pada 12 November, susulan pendedahan mengenai hubungan sulitnya dengan beberapa individu, termasuk seorang wanita warga China, Alice Huang, yang disyaki mempunyai kaitan dengan perisikan China.
Wanita berkenaan dilaporkan pernah berhubung dengan seorang pegawai agensi perisikan tertinggi China ketika menjalinkan hubungan dengan Huang. Bagaimanapun, dakwaan mengenai kaitan wanita itu dengan kegiatan perisikan masih menjadi perhatian pihak berkuasa AS.
Trump sebelum ini turut menyuarakan sokongan terhadap kepulangan Huang dan mengakui beliau telah berhubung dengan lembaga pengarah Nvidia berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, Trump menegaskan Nvidia perlu meneruskan siasatan dalaman secara menyeluruh berhubung pematuhan syarikat terhadap kawalan eksport AS.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan syarikat berkenaan memenuhi tanggungjawab undang-undang serta melindungi keselamatan negara.
Keputusan mengembalikan Huang bagaimanapun mencetuskan persoalan dalam kalangan beberapa ahli politik AS yang mahu penjelasan lanjut mengenai risiko keselamatan dan peranan pentadbiran Trump dalam keputusan berkenaan.










