Belia Bakal Jadi Tenaga Mahir Agrikomoditi, Latihan Disertai Jaminan Kerjaya

KUALA LUMPUR: Sektor agrikomoditi kini beralih kepada teknologi moden dan kemahiran berasaskan automasi bagi menarik lebih ramai golongan belia, khususnya di luar bandar, menyertai industri itu sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperkukuh usaha berkenaan menerusi pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agrikomoditi yang menggabungkan latihan berkemahiran tinggi, teknologi moden serta peluang penempatan pekerjaan bersama industri.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) dengan kerjasama institusi latihan, agensi dan pemain industri bagi memastikan latihan yang diberikan selari dengan keperluan sektor agrikomoditi.

Antara pendekatan utama ialah Program Jaminan Kerjaya menerusi kaedah latihan dan penempatan pekerjaan (train and place) dengan kerjasama strategik industri, termasuk inisiatif Harvesting Specialist dan Machine Specialist.

Program itu merekodkan seramai 1,202 peserta dilatih sejak 2023 hingga Oktober 2026, dengan peserta turut menerima elaun sara hidup dan simpanan sepanjang tempoh latihan.

Selain peluang mendapatkan pekerjaan, peserta turut menjalani proses padanan pekerjaan dan penempatan bersama industri, selain berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Kementerian turut menyasarkan peluang pendapatan melebihi RM3,000 sebulan menerusi laluan kerjaya berkemahiran dalam sektor berkenaan.

Dalam usaha memodenkan latihan, teknologi seperti dron pembajaan, peralatan automasi dan kenderaan berpandu autonomi turut diperkenalkan dalam latihan sektor agrikomoditi.

Penggunaan teknologi itu merangkumi mesin penuaan kawalan jauh serta kecerdasan buatan (AI), manakala sektor perkayuan pula menerapkan reka bentuk berbantukan komputer (CAD) dan pemesinan kawalan berangka komputer (CNC).

Pada masa sama, KPK turut memperkenalkan Skuad Agrikomoditi pada 7 Mei 2026 sebagai platform pembangunan kepimpinan, kesukarelawanan dan advokasi belia.

Skuad berkenaan bertujuan mendedahkan golongan muda kepada peluang kerjaya, teknologi, inovasi serta amalan kelestarian dalam sektor agrikomoditi.

Usaha itu dijangka dapat memperluas penyertaan belia dalam sektor berkenaan, selain membentuk tenaga kerja tempatan yang lebih kompeten dan mampu memenuhi keperluan industri yang semakin berorientasikan teknologi.

BBerkaitan

Latest articles