DAP Pertaruh MP, Bekas Pegawai Polis Dalam PRN Sarawak

KUCHING: DAP Sarawak mempertaruhkan Ahli Parlimen Bandar Kuching dan bekas pegawai kanan polis sebagai antara taruhan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, setakat ini parti berkenaan mengumumkan sembilan calon untuk bertanding di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk tujuh nama yang diperkenalkan pada majlis makan malam parti itu di sini, malam tadi.

Chong yang juga penyandang kerusi Kota Sentosa akan mempertahankan kawasan berkenaan, manakala Violet Yong kekal bertanding di Pending.

Turut menjadi perhatian ialah Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii yang bakal bertanding di Batu Lintang, selain bekas Superintendan polis, Lim Nee Kon yang dipertaruhkan di Opar.

Lima lagi calon yang diumumkan ialah Michael Kong di Padungan, Jordan Soo di Batu Kitang dan Sim Kiat Leng di Batu Kawa.

Sebelum ini, DAP turut mengumumkan dua calon bagi kawasan Sibu, masing-masing Irene Wong Lee Ting, 24, di Pelawan dan Stanley Chiew di Bukit Assek.

Irene yang merupakan pembantu khas kepada Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew sejak 2024, bakal menjadi antara calon muda yang diberi kepercayaan parti itu.

Manakala Stanley pula merupakan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng.

Pada PRN Sarawak ke-12, DAP bertanding di 26 kerusi dan hanya memenangi dua daripadanya iaitu Padungan dan Pending, kedua-duanya di kawasan bandar raya Kuching.

BBerkaitan

Latest articles