‘Tarik Balik Pantun, Tapi Sokongan Kepada PN Tak Ditarik’ – MP Kampar

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin mengemukakan usul berhubung tindakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang didakwa menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) ketika berpantun di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Perkara itu dibangkitkan Chong ketika sesi persidangan Dewan Rakyat pada Isnin apabila beliau meminta Ahmad Maslan menarik balik sokongan terhadap PN, susulan timbalan menteri berkenaan menarik balik perkataan tertentu dalam pantunnya sebelum ini.

Chong berkata, tindakan menarik balik perkataan berkenaan tidak bermakna Ahmad Maslan turut menarik balik sokongan kepada PN.

“Jadi saya minta Pontian, kalau sudah mohon maaf, kembali ke Dewan ini, mohon maaf dan tarik balik sokong Perikatan Nasional sebab itu bukan dasar kerajaan, bukan dasar kementerian.

“Saya mohon gentleman, Pontian, sila tarik balik sokong Perikatan Nasional,” katanya.

Bagaimanapun, Johari menegur Chong supaya mengemukakan permintaan itu melalui Yang Dipertua Dewan Rakyat dan bukannya bercakap secara langsung kepada Ahli Parlimen Pontian berkenaan.

“Bila Yang Berhormat kemukakan usul, permintaan Yang Berhormat tujukan kepada saya, bukan tujukan kepada Yang Berhormat di bawah.

“Oleh demikian, Yang Berhormat kena tanya saya: ‘Bolehkah Yang Berhormat Speaker minta…’ Itu tajuk dia. Bukan terus begitu. Dia kena indirect speaking,” katanya.

Johari kemudian memberikan dua pilihan kepada Chong sama ada tidak meneruskan perkara itu atau mengemukakan usul supaya beliau dapat meneliti asas dan faktor bagi membolehkan keputusan dibuat berhubung permintaan tersebut.

“Yang pertama, tak payah sebut lagi sebab kita dah tahu. Ataupun yang kedua, masukkan usul supaya saya dapat baca balik apakah faktor-faktor yang membolehkan saya membuat keputusan agar Pontian menjawab soalan itu.

“Boleh, Yang Berhormat? Oleh itu, sila masukkan usul,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles