RM4.67 Juta Jadi RM1,000, Ahmad Amzad Bawa Isu Tanah KLSCAH Ke Kamar Khas

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim membawa isu pengurangan premium tanah kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada anggaran RM4.67 juta kepada hanya RM1,000 ke Dewan Rakyat.

Beliau mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi mendapatkan penjelasan kerajaan berhubung asas penilaian dan justifikasi pengurangan premium tanah berkenaan, termasuk syarat pemberimilikan serta tempoh pajakan sehingga 99 tahun.

Usul itu turut mempersoalkan konsistensi dasar kerajaan dalam memberikan pengurangan premium tanah kepada institusi dan pertubuhan lain di Wilayah Persekutuan.

Ahmad Amzad berkata, perkara berkenaan perlu dibincangkan segera kerana keputusan pemberian tanah kerajaan membabitkan kepentingan jangka panjang terhadap aset awam.

Menurutnya, penjelasan kerajaan penting bagi memastikan prinsip dan kriteria pengurangan premium yang sama turut digunakan terhadap permohonan institusi, persatuan, badan kebajikan, rumah ibadat, institusi pendidikan serta organisasi pemeliharaan warisan lain.

“Rakyat berhak mengetahui bagaimana nilai premium ditentukan, apakah justifikasi pengurangan yang diberikan dan sama ada kelonggaran yang dibenarkan oleh undang-undang serta dasar kerajaan turut terbuka kepada semua pihak yang mempunyai kelayakan setara tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang penerima manfaat,” katanya ketika membacakan usul berkenaan.

Beliau turut menegaskan tanah kerajaan merupakan aset awam yang perlu diuruskan secara telus, adil dan bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan rasmi kerajaan termasuk pendedahan minit kelulusan, penilaian serta dokumen pertimbangan bagi menjelaskan bagaimana keputusan pengurangan premium berkenaan dibuat.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membenarkan usul berkenaan dibahaskan di Kamar Khas selepas berpuas hati ia memenuhi ketiga-tiga syarat ditetapkan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1).

Beliau berkata, usul yang dikemukakan Ahmad Amzad pada 19 November lalu itu merupakan perkara tertentu, melibatkan kepentingan orang ramai dan memerlukan tindakan segera.

“Dengan demikian, saya membenarkan usul ini untuk dirundingkan pada hari ini di Kamar Khas,” katanya ketika membuat keputusan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Usul berkenaan akan dibincangkan di Kamar Khas bagi membolehkan penjelasan lanjut diperoleh daripada pihak kerajaan.

BBerkaitan

Latest articles