450 Lampu Jalan FT29 Dan FT30 Tidak Berfungsi, Kebanyakannya Akibat Curi Kabel

KUALA LUMPUR: Sebanyak 450 lampu jalan di laluan Persekutuan FT29 dan FT30 tidak berfungsi, dengan kebanyakannya berpunca daripada kejadian kecurian kabel.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, masalah itu melibatkan kemudahan lampu jalan di laluan utama sekitar Putrajaya yang turut mempunyai lampu biasa dan lampu solar.

Menurutnya, bagi laluan FT30 sahaja, sebanyak 450 daripada keseluruhan 706 unit lampu biasa dilaporkan tidak berfungsi.

Beliau berkata, kerosakan lampu jalan berkenaan berpunca daripada tiga faktor iaitu jangka hayat lampu yang telah lama, kerosakan akibat dilanggar kenderaan serta kecurian kabel.

“Daripada 1,518 (unit lampu) itu, 450 yang tidak berfungsi itu kebanyakannya kerana kecurian kabel. Ia masalah besar,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ahmad berkata, bagi FT29 pula, terdapat 812 unit lampu jalan biasa dan 291 unit lampu solar, dengan 270 unit dilaporkan tidak berfungsi.

Beliau turut memaklumkan laluan FT30 mempunyai 706 unit lampu biasa serta 17 unit feeder pillar atau kotak pengagihan bekalan elektrik.

Menjawab isu kecurian kabel, Ahmad berkata tindakan penguatkuasaan perlu turut menyasarkan pihak yang membeli kabel curi, termasuk kedai besi buruk.

“Penguatkuasaan bukan bawah kementerian kami, tetapi polis dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kedai besi buruk, mereka membeli. Kalau mereka tidak beli, tidak adalah orang nak jual dan curi kabel. Jadi dua-dua perkara ini, pencuri kabel dan pembeli kabel yang dicuri itu perlu diambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Datuk Dr Radzi Jidin (BERSATU-Putrajaya), Ahmad berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) menyalurkan peruntukan RM840,000 pada 2025 bagi kerja penyelenggaraan lampu jalan di sekitar laluan FT29 dan FT30.

Katanya, menerusi peruntukan itu, sebanyak tujuh skop kerja penyelenggaraan lampu jalan telah disiapkan.

Beliau berkata, pada Mac 2026, permohonan peruntukan RM780,000 turut dikemukakan bagi membaik pulih kerosakan lampu jalan di kedua-dua laluan berkenaan akibat kecurian kabel.

“Walau bagaimanapun, berasaskan keutamaan peruntukan, kelulusan bagi kerja pembaikan laluan berkenaan disusun semula untuk fasa pelaksanaan seterusnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, kerja mengecat semula garisan jalan di laluan FT30 bagi kedua-dua arah turut diluluskan pada 2026 di bawah program bukan berkala pavement Fasa Dua dengan peruntukan RM1 juta.

Kerja yang bermula pada 12 Ogos 2026 itu telah siap sepenuhnya pada 31 Oktober lalu.

Sementara itu, Radzi ketika mengemukakan soalan tambahan meminta kerajaan mempertimbangkan penggunaan lampu jalan solar bagi mengatasi masalah kecurian kabel yang menyebabkan lampu di laluan masuk dan keluar utama Putrajaya sering tidak berfungsi.

Beliau turut meminta kementerian menyatakan jumlah kes kecurian kabel lampu jalan di FT29 dan FT30 serta seluruh negara, selain memohon jaminan peruntukan khusus disediakan pada 2027 bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Ahmad bagaimanapun dalam jawapannya memberi penekanan kepada jumlah lampu tidak berfungsi dan keperluan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan mencuri serta membeli kabel curi.

BBerkaitan

Latest articles