DAP Sedia Guna Logo Roket Jika PKR Mahu Parti Komponen PH Guna Lambang Sendiri

GEORGE TOWN: DAP tidak keberatan kembali menggunakan lambang roket pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya PKR mahu parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) bertanding menggunakan logo masing-masing.

Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau secara peribadi berpandangan parti itu bersedia menggunakan simbol roket sekiranya pendekatan berkenaan dipersetujui PKR.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pandangan itu adalah pendirian peribadinya dan bukan keputusan rasmi parti.

“Saya berikan pandangan peribadi, ini bukan pandangan parti. Sekiranya PKR nak, saya rasa DAP sedia gunakan roket untuk PRU yang akan datang,” katanya ketika menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali DAP Pulau Pinang.

Kenyataan Guan Eng itu menyusul cadangan Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim supaya penggunaan lambang parti masing-masing oleh komponen PH pada PRU16 dipertimbangkan oleh kepimpinan gabungan berkenaan.

Kamil berkata, cadangan itu perlu dinilai berdasarkan pengalaman parti-parti dalam menghadapi beberapa pilihan raya terdahulu, selain mengambil kira realiti serta landskap politik semasa.

Menurutnya, PKR pernah menggunakan lambang sendiri dalam pilihan raya sebelum ini dan pendekatan itu tidak menyebabkan kekeliruan kepada pengundi.

Pada PRU14, DAP buat pertama kali mengetepikan logo roket dan bertanding menggunakan lambang PKR bersama parti-parti PH lain di Semenanjung Malaysia.

Ketika itu, Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung DAP mempertahankan penggunaan satu lambang sebagai simbol perpaduan antara parti dalam gabungan berkenaan.

DAP kemudiannya menggunakan logo PH pada PRU15, yang berlangsung pada 2022, manakala parti itu di Sabah dan Sarawak diberikan kebebasan menentukan lambang yang digunakan dalam pilihan raya.

BBerkaitan

Latest articles