KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) perlu menilai semula strategi penggunaan lambang parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk kemungkinan PKR, DAP dan Amanah bertanding menggunakan logo sendiri, bukan satu lambang gabungan.
Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim, berkata cadangan itu mempunyai asas untuk dipertimbangkan oleh kepimpinan tertinggi PH, berdasarkan pengalaman parti-parti gabungan tersebut dalam beberapa siri pilihan raya terdahulu serta perkembangan politik semasa.
Menurutnya, pendekatan berkenaan perlu diteliti secara menyeluruh bagi memastikan strategi yang dipilih mampu memberikan kelebihan kepada gabungan itu dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau bagaimanapun menegaskan kejayaan meraih kemenangan tidak bergantung semata-mata kepada penggunaan logo, sebaliknya turut dipengaruhi strategi kempen, rekod perkhidmatan, pendekatan politik dan pemilihan calon yang sesuai.
“Saya tidak nafikan ada kewajaran dan juga pertimbangan yang khusus untuk kita menilai semula strategi dan pendekatan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Kamil mengulas cadangan supaya parti-parti komponen PH menggunakan lambang masing-masing pada PRU16, berbanding bertanding menggunakan satu logo gabungan seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Beliau berkata PKR sendiri mempunyai pengalaman bertanding menggunakan lambang parti dan pendekatan itu tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.
Malah, katanya, penggunaan logo PKR pernah menjadi sebahagian daripada kejayaan bersejarah PH menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
“Bahkan logo PKR itu pernah melakar sejarah, apabila logo PKR itulah telah memenangkan PH pada 2018,” katanya.
Cadangan penggunaan lambang berasingan itu dilihat membuka ruang kepada PH menilai semula pendekatan pilihan raya bagi menyesuaikan strategi dengan landskap politik semasa, selain memperkukuh identiti setiap parti dalam gabungan berkenaan.










