Setpol MB Selangor bidas Nga Kor Ming isu perobohan rumah ibadat

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad membidas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung tindakan merobohkan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah persendirian.

Saifuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR menegaskan, ketegangan kaum sebenarnya boleh tercetus apabila rumah ibadat didirikan di atas tanah milik pihak lain tanpa kebenaran, bukannya disebabkan tindakan pemilik tanah merobohkan struktur berkenaan.

“Nga Kor Ming, ketegangan kaum sebenarnya bermula apabila ada pihak memacak tiang rumah ibadat di atas tanah milik orang lain, bukan berpunca apabila pemilik merobohkannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap jawapan bertulis Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Parlimen yang menasihatkan pemilik tanah persendirian supaya tidak mengambil tindakan sendiri merobohkan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran.

Sebaliknya, KPKT menyarankan pemilik tanah membuat laporan polis, mengemukakan notis kepada pihak yang membina rumah ibadat serta memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut kementerian itu, Jawatankuasa Keselamatan Daerah juga boleh diaktifkan sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian yang munasabah.

Dalam jawapan sama, KPKT menjelaskan Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 menetapkan bahawa tiada pihak boleh mendirikan bangunan tanpa mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT.

Peruntukan itu meliputi semua jenis rumah ibadat termasuk masjid, surau, gereja, tokong dan kuil tanpa pengecualian atau keistimewaan kepada mana-mana agama.

Seksyen 72(1) akta sama pula memberi kuasa kepada PBT untuk mengeluarkan notis menghentikan pembinaan serta mengarahkan bangunan yang didirikan tanpa kelulusan dirobohkan dalam tempoh ditetapkan.

Bagi rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan, tindakan penguatkuasaan terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Daerah serta kerajaan negeri berdasarkan Kanun Tanah Negara 1965.

KPKT turut memaklumkan PBT menerima sebanyak 1,305 aduan berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran sepanjang 2025 hingga 2026, termasuk struktur yang didirikan berhampiran hospital dan institusi perubatan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 114 aduan dirujuk kepada Pejabat Tanah dan Daerah kerana berada di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.

Sebanyak 197 operasi turut dilaksanakan PBT, membabitkan 432 tindakan penguatkuasaan termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, arahan berpindah dan perobohan.

KPKT berkata, setiap aduan akan disemak dan tindakan sewajarnya diambil secara berterusan, tegas serta menyeluruh bagi mengawal pembangunan dan penggunaan tanah tanpa kebenaran.

BBerkaitan

Latest articles