MP BN gesa rakyat lapor polis terhadap Tony Pua berhubung penyebaran minit pengampunan

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menggesa orang ramai membuat laporan polis berhubung penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan oleh bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkata, tindakan Tony Pua memuat naik beberapa halaman dokumen berkenaan di media sosial menimbulkan persoalan serius berkaitan pematuhan undang-undang, keselamatan dokumen kerajaan dan kemuliaan institusi diraja.

Menurutnya, isu itu bukan sekadar polemik politik kepartian, sebaliknya membabitkan prinsip kedaulatan undang-undang yang perlu dipertahankan semua pihak.

“Sebagai tanda komitmen kami dalam mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan undang-undang negara, kami ahli Parlimen Barisan Nasional menggesa setiap rakyat yang peduli akan isu ini untuk membuat laporan polis bagi memastikan kedaulatan undang-undang dilindungi dan dipatuhi.

“Tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang. Prinsip ini mesti ditegakkan secara adil terhadap semua pihak demi memelihara integriti institusi pentadbiran negara,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata, BN turut membangkitkan beberapa persoalan perundangan berhubung status pengelasan dokumen berkenaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), termasuk sama ada proses penyahklasifikasi telah dilakukan mengikut peruntukan Seksyen 2C akta itu.

Katanya, sekiranya tiada pewartaan atau perintah rasmi daripada pihak berkuasa yang mempunyai kuasa berbuat demikian, pemilikan dan penyebaran dokumen terbabit perlu disiasat di bawah Seksyen 8 OSA.

Shamshulkahar turut mempersoalkan bagaimana dokumen yang dikaitkan dengan prosiding Lembaga Pengampunan dan melibatkan Yang di-Pertuan Agong boleh berada dalam tangan individu di luar pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku kelemahan kawalan keselamatan dokumen rasmi kerajaan yang perlu ditangani segera.

Dalam perkembangan sama, BN mengemukakan tiga tuntutan, termasuk mendesak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh 24 jam bagi mengesahkan ketulenan serta status pengelasan dokumen berkenaan.

Selain itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) digesa menjalankan audit keselamatan dan siasatan dalaman segera bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap kebocoran maklumat sulit kerajaan.

BN turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh tanpa rasa takut atau pilih kasih terhadap individu yang menyebarkan dokumen berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles