10 Bekas Exco Tarik Balik Saman Berkaitan Krisis Perlembagaan Negeri Sembilan

SEREMBAN: Sepuluh bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan menarik balik saman pemula terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri dan dua pihak lain berhubung krisis perlembagaan negeri itu.

Keputusan itu dimaklumkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini susulan perkembangan terkini membabitkan peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Peguam plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun, berkata penarikan balik saman dibuat selepas mengambil kira peruntukan perlembagaan yang menetapkan seluruh barisan Exco turut terhenti daripada memegang jawatan apabila Menteri Besar meletakkan jawatan.

Beliau berkata, pihaknya pada awalnya memohon penangguhan prosiding sehingga Jumaat ini bagi memberi ruang kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, membuat keputusan berhubung peletakan jawatan Ismail.

Bagaimanapun, selepas berbincang dengan anak guam, mereka bersetuju menarik balik keseluruhan saman tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula, termasuk melalui semakan kehakiman.

Hakim Roz Mawar Rozain membenarkan permohonan itu, namun memerintahkan plaintif membayar kos RM20,000 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, RM20,000 kepada Kerajaan Negeri dan RM8,000 kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU).

Dalam penghakimannya, Roz Mawar menjelaskan bahawa Ismail belum secara rasmi melepaskan jawatan ketika prosiding berlangsung kerana perkenan Tuanku Muhriz terhadap peletakan jawatannya masih belum diperoleh.

Beliau turut mengingatkan pihak yang membawa sesuatu perkara ke mahkamah, khususnya membabitkan persoalan perlembagaan dan kepentingan awam, supaya mengambil kira penggunaan masa serta sumber kehakiman.

Katanya, mahkamah telah memperuntukkan masa dan sumber yang besar untuk mengendalikan kes berkenaan sejak saman difailkan kira-kira lima bulan lalu.

Untuk rekod, 10 bekas Exco berkenaan memfailkan saman pemula bagi mendapatkan tafsiran terhadap Perlembagaan Negeri Sembilan, dengan menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri dan kerajaan negeri sebagai defendan.

DKU kemudian dibenarkan mencelah dan dimasukkan sebagai defendan ketiga dalam prosiding berkenaan. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles