UMNO Gesa Penjelasan Rasmi Pendedahan Minit Lembaga Pengampunan Najib

KUALA LUMPUR: UMNO menggesa pihak bertanggungjawab memberikan penjelasan rasmi berhubung status penyahklasifikasian minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, gesaan itu dibuat susulan kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua bahawa minit mesyuarat berkenaan telah dinyahklasifikasikan, selain berkongsi beberapa halaman yang didakwa sebahagian daripada dokumen tersebut.

Menurutnya, Menteri Dalam Negeri pada 12 November lalu menyatakan kesediaan untuk membawa cadangan penyahklasifikasian dokumen itu kepada Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 November lalu, jurucakap Kerajaan memaklumkan cadangan berkenaan belum dibangkitkan secara langsung dalam mesyuarat tersebut dan prosesnya sedang diatur dengan mengambil kira keperluan undang-undang.

“Susulan perkongsian dokumen berkenaan kepada umum, UMNO menggesa pihak bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan rasmi mengenai perkara berikut,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Azalina berkata, terdapat tiga perkara utama yang memerlukan penjelasan, termasuk sama ada minit mesyuarat berkenaan telah dikelaskan semula secara rasmi, tarikh keputusan dibuat serta pihak yang bertanggungjawab meluluskannya.

Selain itu, UMNO turut mempersoalkan asas kuasa yang digunakan, tatacara dipatuhi dan tujuan pengelasan semula dokumen berkenaan.

Beliau berkata, penjelasan juga perlu diberikan mengenai kesahihan salinan dokumen yang kini tersebar kepada umum, termasuk sama ada ia sepadan dengan rekod rasmi.

“Adakah pengelasan semula itu meliputi keseluruhan minit, termasuk lampiran berkaitan atau hanya bahagian tertentu?” katanya.

Dalam pada itu, Azalina menjelaskan bahawa bagi dokumen berstatus rahsia rasmi, keputusan untuk mengelaskannya semula hendaklah dibuat oleh pihak berkuasa di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) mengikut tatacara yang ditetapkan.

Beliau menegaskan, ketelusan dalam pengendalian rekod Lembaga Pengampunan perlu dilaksanakan seiring dengan pematuhan undang-undang.

“UMNO menghormati kedudukan Lembaga Pengampunan dan menjunjung kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles