KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat China yang diasaskan Alice Huang, wanita yang dikaitkan dengan kontroversi perisikan Beijing membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang, dilaporkan memperoleh cip kecerdasan buatan (AI) yang tertakluk kepada sekatan eksport Amerika Syarikat (AS).
Bloomberg News dalam laporan eksklusif pada Jumaat mendedahkan, cip berkenaan dipercayai dipasang di sebuah pusat data di Shanghai yang mempunyai kaitan dengan rangkaian perniagaan Alice.
Laporan itu berdasarkan dokumen korporat yang diteliti Bloomberg serta sumber yang mengetahui urus niaga berkenaan.
Menurut laporan itu, syarikat Shanghai Longteng Intelligent Computing yang diasaskan Alice pada 2015 memperoleh pelayan komputer yang dilengkapi cip AI Nvidia, termasuk model H800, H100 dan H200.
Antara perkakasan yang dikenal pasti ialah 22 pelayan Dell Technologies dilengkapi cip Nvidia H800 yang pada asalnya dijual kepada Aperia Cloud Services, sebuah syarikat berpangkalan di Singapura dan pernah menjadi rakan rasmi Nvidia Cloud Partner.
Bagaimanapun, pelayan berkenaan kemudian dilaporkan ditemukan di sebuah pusat data di Shanghai yang dikaitkan dengan Shanghai Longteng.
Bloomberg turut melaporkan dokumen yang dikemukakan kepada pihak berkuasa China menunjukkan anak syarikat Shanghai Longteng menggunakan 193 pelayan komputer sebagai cagaran bagi mendapatkan pembiayaan pada Januari 2025.
Daripada jumlah itu, 52 pelayan keluaran Super Micro Computer dilengkapi cip Nvidia H100 atau H200, manakala 119 lagi dikeluarkan oleh Gigabyte Technology.
Keseluruhan perkakasan berkenaan dinilai sebanyak 485 juta yuan atau kira-kira AS$73 juta (RM330 juta).
AS mengenakan sekatan eksport terhadap cip H800 ke China pada 2023, manakala penghantaran cip H100 dan H200 ke negara itu turut tertakluk kepada keperluan lesen eksport Washington.
Perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai bagaimana perkakasan berteknologi tinggi berkenaan boleh memasuki China meskipun tertakluk kepada kawalan eksport AS.
Dalam perkembangan berkaitan, Dell memaklumkan kepada Bloomberg bahawa pihaknya menghentikan semua jualan dan sokongan kepada Aperia pada Februari 2025 susulan kebimbangan mengenai kemungkinan pengalihan perkakasan tanpa kebenaran.
Bagaimanapun, Aperia menafikan sebarang salah laku, manakala Super Micro menyatakan pelayan yang dikenal pasti dijual mengikut peraturan kawalan eksport AS dan syarikat itu tidak mempunyai kaitan dengan pusat data berkenaan.
Bloomberg turut menjelaskan dokumen berkenaan tidak mendedahkan bagaimana semua pelayan itu diperoleh atau sama ada Alice terbabit secara langsung dalam urus niaga berkenaan.
Alice dilaporkan melepaskan pegangan sahamnya dalam Shanghai Longteng pada 2017, sekali gus bermakna beliau tidak lagi menjadi pemegang saham syarikat itu ketika perkakasan berkenaan dijadikan cagaran pada 2025.
Sementara itu, Megaspeed International, sebuah lagi syarikat yang diasaskan Alice, turut dikaitkan dengan pusat data berkenaan selepas menggunakan gambaran projek itu dalam pembentangan kepada pelabur pada 2024.
Megaspeed sebelum ini menjadi perhatian pihak berkuasa AS berhubung dakwaan kemungkinan pengalihan cip Nvidia yang tertakluk kepada sekatan eksport ke China.
Syarikat itu bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.
Pendedahan terbaharu itu menambah tekanan terhadap Nvidia susulan kontroversi membabitkan Jensen dan Alice, termasuk dakwaan bahawa wanita berkenaan mempunyai hubungan dengan perkhidmatan perisikan China.
Bagaimanapun, dakwaan Alice sebagai ejen perisikan Beijing belum dibuktikan secara terbuka, manakala dokumen yang diteliti Bloomberg juga tidak membuktikan beliau mengarahkan atau terlibat secara langsung dalam pemerolehan cip berkenaan.










