KUALA LUMPUR: Isu pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak seharusnya disamakan dengan pembebasan sepenuhnya daripada hukuman atau tanggungjawab undang-undang, sebaliknya perlu difahami berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Pertubuhan Integriti dan Antirasuah (INTRAS), Datuk Mohamad Fauzi Husin berkata, kuasa pengampunan yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong menerusi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan merupakan sebahagian daripada mekanisme perlembagaan negara yang perlu dihormati.
Bagaimanapun, beliau berkata, menghormati kuasa berkenaan tidak bermaksud masyarakat tidak boleh mempersoalkan atau membincangkan implikasi sesuatu keputusan secara terbuka dan berhemah.
“Pengampunan diraja bukanlah sesuatu yang asing dalam sistem perundangan negara. Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan, penangguhan dan peringanan hukuman bagi kesalahan tertentu.
“Namun begitu, menghormati kuasa pengampunan tidak bermaksud masyarakat tidak boleh bertanya, menilai implikasi atau membincangkan pelaksanaannya secara terbuka dan berhemah,” katanya dalam artikel yang disiarkan portal Twentytwo13 pada Sabtu.
Menurut Mohamad Fauzi, perkara paling penting yang perlu difahami ialah perbezaan antara pengampunan, pengurangan hukuman dan pembebasan daripada hukuman.
Beliau berkata, dalam kes SRC International, Najib sebelum ini disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Bagaimanapun, pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan hukuman penjara dikurangkan kepada enam tahun manakala denda diturunkan kepada RM50 juta.
“Hal ini merupakan pengurangan hukuman, bukannya pembatalan sabitan oleh mahkamah. Dengan kata lain, keputusan pengampunan tersebut tidak menjadikan sabitan asal seolah-olah tidak pernah berlaku,” katanya.
Beliau turut menjelaskan perkembangan berkaitan pelaksanaan baki hukuman melalui tahanan rumah yang menurutnya perlu dilihat berdasarkan kerangka undang-undang, termasuk aspek tafsiran, prosedur dan pelaksanaan keputusan berkenaan.
Mengulas polemik yang berterusan, Mohamad Fauzi berkata, antara perkara yang mencetuskan perbezaan pandangan masyarakat ialah persepsi mengenai kesamarataan di sisi undang-undang.
Katanya, masyarakat mahu memastikan prinsip keadilan terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh atau kekayaan.
“Apabila seseorang yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan diberikan pengurangan hukuman dan kemudiannya dibenarkan menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah, sudah tentu timbul persoalan tentang bagaimana keputusan tersebut difahami dalam konteks keadilan dan kepentingan awam,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya perbahasan mengenai perkara itu dibuat secara objektif dan tidak menafikan kuasa pengampunan yang diberikan oleh Perlembagaan.
Dalam masa sama, katanya, penggunaan kuasa berkenaan tidak seharusnya menghalang perbahasan yang sah mengenai ketelusan proses, prinsip kesamarataan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Beliau berkata, prinsip kedaulatan undang-undang menuntut semua pihak menghormati proses perlembagaan, termasuk apabila sesuatu keputusan tidak selari dengan pandangan atau kehendak peribadi mereka.
“Kita tidak seharusnya membina persepsi bahawa sesuatu keputusan hanya perlu dihormati apabila ia memihak kepada kumpulan atau individu yang kita sokong.
“Prinsip kedaulatan undang-undang menuntut supaya semua pihak menghormati proses perlembagaan,” katanya.
Mohamad Fauzi turut menegaskan bahawa pengampunan dalam kes SRC International tidak secara automatik menghapuskan kedudukan kes lain yang melibatkan Najib, termasuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai proses perundangan dan rayuan tersendiri.
“Pengampunan diraja bukan lesen untuk seseorang terlepas daripada semua proses undang-undang, dan bukan juga bermaksud seseorang mendapat kekebalan daripada pertanggungjawaban terhadap kesalahan lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan isu berkenaan bukan sekadar membabitkan Najib, sebaliknya turut menyentuh keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan, institusi Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Menurutnya, keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, malah masyarakat juga perlu mempunyai keyakinan terhadap proses yang mendasarinya.
“Pengampunan merupakan ruang yang dibenarkan oleh Perlembagaan, manakala keadilan dan akauntabiliti pula merupakan asas penting dalam membina keyakinan rakyat,” katanya.
Mohamad Fauzi yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kedua-dua prinsip iaitu menghormati kuasa perlembagaan dan memastikan tiada individu berada di atas undang-undang perlu bergerak seiring demi keutuhan institusi negara.










