KUALA LUMPUR: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, didakwa berpatah balik daripada pendirian sebelum ini apabila menarik semula bantahan terhadap kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Perubahan pendirian itu dilaporkan susulan tindakan Ismail menghantar surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, bagi menarik balik surat terdahulu yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz.
Menurut laporan Malay Mail yang memetik sumber, Ismail bertemu Syed Danial awal minggu ini dengan membawa surat berkenaan, sekali gus memberi isyarat sokongan semula terhadap kedudukan Tuanku Muhriz.
Ismail juga dijangka menghadap Tuanku Muhriz bagi menyatakan taat setia serta memohon perkenan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang semula.
Persidangan DUN Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung pada pertengahan Oktober lalu dibatalkan sebelum ditetapkan semula pada 26 November ini.
Surat berkenaan turut difahamkan mengesahkan sokongan sebulat suara 10 bekas anggota Exco yang dipecat terhadap Tuanku Muhriz, dengan mengambil kira kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja susulan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-273 pada 14 Oktober lalu.
Ismail bersama bekas anggota Exco terbabit dipercayai mengambil pendirian itu berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun lalu yang memberikan injunksi interim bagi mengekalkan status quo.
Pada 14 Oktober lalu, Raja-Raja Melayu menggesa semua pihak yang terlibat dalam kemelut diraja Negeri Sembilan supaya menyelesaikan pertikaian menerusi saluran undang-undang, selain mengingatkan pihak luar agar tidak campur tangan atau mempolitikkan krisis berkenaan.
Baginda-baginda turut menegaskan penyelesaian perlu dilakukan secara berhemah, penuh kebijaksanaan dan mengikut adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Kemelut itu sebelum ini semakin memuncak apabila Tuanku Muhriz pada 16 Oktober lalu menegur Ismail secara terbuka berhubung surat yang didakwa dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, memaklumkan bahawa baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar.
Menerusi beberapa video yang tular di media sosial, Tuanku Muhriz turut mempersoalkan tujuan Ismail mahu menghadap baginda dan meminta Menteri Besar itu berundur daripada hasrat berkenaan sehingga beliau menarik balik kenyataannya sebelum ini.
Krisis diraja Negeri Sembilan bermula pada April lalu apabila empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz daripada kedudukan Yang Dipertuan Besar.
Individu yang sama turut didakwa mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu dalam satu majlis di sebuah hotel lima bintang di Melaka pada Jun lalu.
Pada September, Ismail pula menyokong kenyataan yang dikeluarkan Exco negeri yang didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz, sebelum baginda membatalkan pelantikan kesemua anggota Exco berkenaan.










