SEREMBAN: Kemelut kedudukan Undang Luak Jelebu kini dibawa ke Mahkamah Tinggi apabila Datuk Azrin Khairi memohon pengisytiharan bahawa beliau merupakan Undang Luak Jelebu ke-17 yang sah, selaras dengan pengisytiharan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 14 Oktober lalu.
Permohonan itu turut menuntut supaya Datuk Maarof Mat Rashad diisytiharkan tidak lagi memegang jawatan dan gelaran Undang Luak Jelebu ke-16 berkuat kuasa 31 Mei 2023.
Azrin dalam permohonan yang dikemukakan di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain hari ini, menyatakan pemberhentian Maarof dibuat atas nasihat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dalam persidangan pada 31 Julai lalu, sebelum perkara itu diwartakan pada 23 Oktober 2026.
Beliau turut memohon injunksi kekal bagi melarang Maarof daripada menggunakan gelaran Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman atau Yang Teramat Mulia, selain menjalankan sebarang tugas dan fungsi berkaitan jawatan itu.
Permohonan tersebut juga bertujuan menghalang Maarof daripada menganjurkan atau menghadiri majlis serta istiadat adat atas kapasiti sebagai Undang Luak Jelebu, termasuk Majlis Pengukuhan Adat dan Pemegang Pesaka Luak Jelebu yang dijadualkan berlangsung pada 15 November ini.
Selain itu, Azrin mahu Maarof dilarang melantik atau melucutkan mana-mana pemegang pesaka dan jawatan adat, mengeluarkan dokumen rasmi atas nama Undang Luak Jelebu serta menggunakan Balai Undang Luak Jelebu bagi tujuan berkenaan.
Beliau turut memohon injunksi mandatori supaya Maarof diarahkan menurunkan, memadam dan menarik balik semua poster, hantaran, kenyataan serta bahan yang menggambarkannya sebagai Undang Luak Jelebu dalam tempoh tujuh hari selepas perintah mahkamah dikeluarkan.
Dalam prosiding sama, Azrin turut memohon injunksi interim secara ex-parte bagi menghalang Maarof daripada menjalankan fungsi Undang Luak Jelebu sementara menunggu kes itu diputuskan.
Bagaimanapun, Hakim Roz Mawar mengarahkan permohonan tersebut diteruskan secara inter-parte, iaitu dengan kehadiran kedua-dua pihak, selain mengarahkan notis permohonan diserahkan kepada Maarof.
Mahkamah juga menolak permohonan Azrin untuk mendapatkan perintah ad-interim selepas mendapati tiada alasan kukuh bagi membenarkan perintah berkenaan.
Mahkamah menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh pendengaran bagi kedua-dua permohonan itu yang akan dijalankan menerusi sidang video.










