Anwar Nafi Derhaka Agong, Tegaskan Isu Tahanan Rumah Najib Perlu Ikut Proses Undang-undang

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebarang kemelut antara beliau dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung isu pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, Anwar menafikan dakwaan kononnya beliau menderhaka kepada titah baginda, sambil menegaskan perkara itu perlu diselesaikan menerusi proses perundangan dan bukannya keputusan peribadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, hubungan dengan Yang di-Pertuan Agong kekal baik, malah baginda sendiri menghubunginya petang tadi bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Dia (pemimpin tertentu) kata nak derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. Petang tadi Yang di-Pertuan Agong telefon, hubungan kita baik.

“Tuanku melihat sudah lama, empat tahun Najib dipenjara dan mahu diberikan tahanan rumah. Tetapi, itu bukan kuasa saya. Kuasa saya ialah mengikut hukum,” katanya ketika berucap pada majlis sembang santai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.

Menurut beliau, Peguam Negara bertanggungjawab memastikan setiap tindakan kerajaan berlandaskan undang-undang, termasuk merujuk perkara berkenaan kepada mahkamah untuk mendapatkan keputusan sewajarnya.

Justeru, beliau mempersoalkan pihak yang menuduhnya menderhaka, sedangkan kerajaan mengambil pendekatan menyerahkan isu itu kepada proses kehakiman.

“Siapa yang derhaka? Peguam Negara ambil masa sebab Peguam Negara jaga undang-undang, Tuanku Agong titah bebaskan… Peguam Negara kata ya. Kita ikut proses kena bawa ke mahkamah putuskan, itu saja,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah pelepasan bertarikh 6 November yang dikeluarkan selepas Najib melunaskan denda RM50 juta.

Mahkamah kemudiannya mengeluarkan perintah baharu yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah bermula 10 November hingga 23 Ogos 2028.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mendedahkan keraguan seorang pemimpin UMNO yang berada dalam Kabinet terhadap kemampuan kerajaan menurunkan harga petrol.

Beliau mendakwa pemimpin berkenaan mempersoalkan kemampuan kerajaan melaksanakan penurunan harga minyak ketika mesyuarat Jemaah Menteri, namun mengambil pendirian berbeza ketika berkempen pada PRN Melaka.

“Ya, dia duduk dalam mesyuarat Jemaah Menteri ini, dia bagi tahu boleh ke ini (turun) rendah sangat ni. Ada duit ke, mari sini (kempen PRN Melaka) dia nak hentam kita.

“Kita turunkan harga minyak RM1.99 seliter (RON95),” katanya.

Anwar berkata, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter itu menjadi antara langkah kerajaan yang dipertahankan dalam menghadapi kritikan ketika kempen pilihan raya negeri berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles