KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menggesa Majlis Peguam dan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua supaya menghormati keputusan pengampunan diraja membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, keputusan membolehkan Najib menjalani baki tempoh hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi kaedah tahanan di rumah telah melalui proses dan pertimbangan pihak berautoriti, termasuk Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, permohonan pengampunan merupakan hak yang diperuntukkan kepada setiap individu yang sedang menjalani hukuman.
“Justeru, keputusan yang dibuat melalui saluran perlembagaan dan mendapat perkenan diraja sewajarnya dihormati oleh semua pihak,” katanya menerusi kenyataan media pada Khamis.
Dalam pada itu, Wan Rosdy kesal dengan tindakan Majlis Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar prosiding dan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan pelaksanaan tahanan di rumah Najib.
Beliau menggesa badan itu supaya tidak meneruskan tindakan yang disifatkan boleh mencetuskan polemik serta menjejaskan penghormatan terhadap institusi diraja.
Pada masa sama, beliau turut membidas hantaran Tony Pua di media sosial yang didakwa memperlekehkan keputusan Lembaga Pengampunan dan menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya menggesa pihak berkuasa menyiasat hantaran tersebut secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya.
Wan Rosdy turut menegaskan bahawa institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai kedudukan serta peranan yang jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlekehkan institusi diraja atau memainkan sentimen 3R sehingga boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Hormatilah prerogatif diraja, peliharalah kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu dan pertahankan keluhuran perlembagaan,” katanya.










