Kerjasama BN-PN Di Melaka Boleh Diperluas Ke PRU – Asyraf Wajdi

MELAKA: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuka ruang kepada kedua-dua gabungan untuk memeterai kerjasama lebih erat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, kerjasama di Melaka sudah meliputi penyelarasan bilik gerakan dan kempen bersama, susulan kesefahaman awal di Negeri Sembilan yang tertumpu kepada mengelakkan pertindihan kerusi.

“Tidak ada bilik gerakan yang berasingan, semuanya disatukan, bahkan semua sayap-sayap Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri digemblengkan secara bersama,” katanya yang ditemui di Pengkalan Batu petang ini.

Asyraf Wajdi berkata, jentera kedua-dua gabungan turut bergerak bersama dalam kempen dari rumah ke rumah dan ceramah pada sebelah malam.

Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama itu diperluas ke peringkat Persekutuan, beliau berkata kesefahaman yang dibina menerusi PRN Melaka memberi keyakinan bahawa kedua-dua gabungan boleh memperkukuh kerjasama untuk menghadapi PRU.

“Saya rasa dengan adanya kesefahaman sebegini, kita amat yakin bahawa kita boleh memeterai kerjasama yang lebih erat untuk kita menghadapi Pilihan Raya Umum,” katanya.

Beliau turut melihat ruang untuk memperluas kerjasama itu ke peringkat Parlimen dan ke negeri-negeri yang kini ditadbir PN.

Mengulas mengenai usaha meningkatkan taraf hidup komuniti India Muslim, Asyraf Wajdi berkata manifesto BN yang dibentangkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, merangkumi semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, inisiatif dalam manifesto itu meliputi masyarakat Melayu, Cina dan India, serta komuniti India Muslim, Siam dan Orang Asli.

BBerkaitan

Latest articles