Mongolia Kemuka Empat Tuntutan Kepada Malaysia Berhubung Kes Altantuya

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Mongolia, Gombojav Zandanshatar mengemukakan empat tuntutan kepada Malaysia bagi memastikan keadilan ditegakkan dalam kes pembunuhan rakyat negara itu, Altantuya Shaariibuu, hampir 20 tahun lalu.

Menurut laporan Associated Press (AP), tuntutan itu merangkumi semakan yang adil terhadap keputusan prosiding sivil, usaha membawa pulang bekas anggota polis Sirul Azhar Umar dari Australia untuk memberikan keterangan, penelitian terhadap kemungkinan bukti baharu serta maklum balas rasmi kerajaan Malaysia.

Zandanshatar yang kini memainkan peranan dalam usaha diplomatik Mongolia berhubung kes itu turut menegaskan kepentingan mendapatkan penjelasan menyeluruh mengenai pembunuhan Altantuya pada 2006.

Beliau berpandangan keterangan individu yang terlibat dalam kes berkenaan penting bagi memastikan usaha mencari keadilan untuk keluarga mangsa dapat diteruskan.

Mongolia turut menggesa Malaysia mengadakan rundingan dengan Australia bagi membolehkan Sirul dibawa pulang untuk memberikan keterangan berkaitan kes berkenaan.

Bagaimanapun, usaha ekstradisi itu berdepan kekangan undang-undang Australia yang tidak membenarkan seseorang dihantar ke negara lain sekiranya berisiko berdepan hukuman mati.

Altantuya, 28, dibunuh pada Oktober 2006 sebelum mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan di kawasan hutan berhampiran Kuala Lumpur.

Dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul, disabitkan kesalahan membunuh wanita itu pada 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan pembebasan mereka oleh Mahkamah Rayuan.

Sirul kemudian melarikan diri ke Australia, manakala Azilah kekal menjalani hukuman penjara di Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Rayuan pada 20 Januari lalu mengetepikan liabiliti kerajaan dalam saman sivil keluarga Altantuya dan mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM5 juta kepada kira-kira RM1.4 juta.

Keputusan itu turut mengekalkan liabiliti terhadap Abdul Razak Baginda serta dua bekas anggota polis berkenaan.

Keluarga Altantuya bagaimanapun mencabar keputusan berkenaan melalui permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Kes pembunuhan itu terus mendapat perhatian Mongolia yang mahu persoalan mengenai kematian Altantuya diperjelaskan, termasuk pihak yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles