KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak boleh diarahkan kembali ke Penjara Kajang sekiranya melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan sepanjang menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu sudah diperuntukkan secara jelas dalam syarat tahanan rumah yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.
Menurutnya, sebarang pelanggaran syarat akan menyebabkan Najib dikembalikan segera ke penjara atau mana-mana penjara lain yang ditentukan Pesuruhjaya Jeneral Penjara.
“Dalam syarat-syarat yang kita masukkan ini, disebut jika berlaku pelanggaran, maka pihak yang melanggar syarat itu akan segera dikembalikan ke Penjara Kajang atau mana-mana penjara yang ditentukan oleh Pesuruhjaya Jeneral.
“Prinsipnya, syarat diberikan dan jika dilanggar, ia boleh dibatalkan (revoke) serta-merta dan dikembalikan ke penjara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Ramkarpal sebelum itu meminta penjelasan sama ada syarat tahanan rumah Najib akan diwartakan dan didedahkan kepada umum bagi membolehkan sebarang pelanggaran, termasuk mengadakan ceramah atau mesyuarat menerusi aplikasi Zoom, dicabar.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tahanan rumah berkenaan boleh ditarik balik sekiranya Najib didapati melanggar syarat ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin bersetuju membawa cadangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) kepada Jemaah Menteri supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan dinyahklasifikasikan.
Katanya, cadangan itu boleh memberikan perspektif lebih jelas kepada masyarakat mengenai proses dan keputusan yang dibuat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib.
“Saya fikir itu dalam bidang kuasa dan tanggungjawab Peguam Negara, tetapi saya tidak ada keberatan.
“Esok mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan bawa. Cadangan daripada Parlimen daripada Muar itu spesifik, apakah kerajaan bersedia menimbangkan untuk menyahklasifikasikan minit mesyuarat berkenaan,” katanya.
Syed Saddiq membangkitkan perkara itu susulan pelbagai laporan polis dibuat terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, selain wujud percanggahan pandangan mengenai keputusan pengampunan Najib.
Beliau berpandangan, pendedahan minit mesyuarat berkenaan dapat membantu menjelaskan proses sebenar yang berlaku dan mengelakkan kerajaan memikul tanggungjawab persepsi masyarakat secara bersendirian terhadap keputusan itu.
Sementara itu, Saifuddin ketika mengakhiri jawapannya turut menyentuh isu rasuah dengan memetik kata-kata Mahatma Gandhi bahawa dunia mempunyai sumber mencukupi untuk memenuhi keperluan semua orang, tetapi bukan ketamakan semua orang.
Beliau menyifatkan rasuah berpunca daripada ketamakan yang tidak mengenal batas dan merupakan sifat tercela.










