KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) belum memulakan sebarang siasatan terhadap anak syarikat firma Singapura di Malaysia yang disyaki memintas sekatan Amerika Syarikat (AS) berhubung eksport cip kecerdasan buatan (AI) ke China.
Menterinya Datuk Seri Johari Ghani berkata, kementeriannya belum menerima sebarang bukti yang menunjukkan Speedmatrix melanggar undang-undang Malaysia, lapor Malaysiakini.
Bagaimanapun, katanya Malaysia tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan negara ini sebagai saluran untuk memintas kawalan eksport.
“Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang didapati melanggar undang-undang Malaysia. Jika kami menerima bukti yang boleh dipercayai atau permintaan rasmi daripada mana-mana pihak berkuasa asing, kami akan menilainya dan mengambil tindakan mengikut undang-undang serta proses negara kami,” katanya lapor FMT.
Johari diminta mengulas laporan The New York Times (NYT) mengenai dakwaan berkaitan Speedmatrix dan Megaspeed International yang berpangkalan di Singapura.
Megaspeed, yang menjadi rakan rasmi pengkomputeran awan Nvidia pada 2023, dikaitkan dengan Alice Huang, yang disyaki sebagai perisik China dan menjadi tumpuan berita susulan hubungan sulitnya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang.
Alice dikatakan pernah menjadi eksekutif kanan di Megaspeed dan dilaporkan masih mempunyai hubungan dengan syarikat itu walaupun telah meletak jawatan pada penghujung 2023.
Megaspeed dilaporkan membeli cip AI Nvidia bernilai USD4.8 bilion antara Jun 2024 hingga Februari 2026, yang dieksport ke pusat data di Malaysia dan Indonesia yang dipercayai menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di China.
Laporan itu menyebut bahawa penghantaran itu mungkin melanggar sekatan perdagangan AS jika dibuat atas arahan sebuah syarikat China.
NYT melaporkan pada Oktober 2025 bahawa seorang pegawai perdagangan AS yang melawat pusat data kendalian Speedmatrix menemui kotak-kotak cip AI Nvidia yang masih belum dibuka.
Menurut laporan itu, cip berkenaan disyaki akan dihantar semula ke China, walaupun tiada bukti muktamad diperoleh ketika itu.
Kebimbangan itu disampaikan kepada pihak berkuasa di Singapura dan Malaysia.










