KLEBANG: Perbezaan tafsiran istilah undang-undang dalam Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi dan keputusan Lembaga Pengampunan menjadi punca pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak masih belum dapat dimuktamadkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berdepan kekeliruan berhubung penggunaan istilah discharge atau pelepasan dalam perintah mahkamah, yang membawa maksud berbeza daripada pelaksanaan tahanan rumah.
Menurutnya, istilah pelepasan bermaksud Jabatan Penjara tidak lagi mempunyai kuasa terhadap seseorang banduan, sedangkan tahanan rumah memerlukan jabatan itu mengekalkan bidang kuasa sepanjang baki hukuman dijalani.
Saifuddin menjelaskan, keputusan Lembaga Pengampunan yang membenarkan Najib menjalani tahanan rumah selepas pembayaran denda RM50 juta tidak pernah dipertikaikan KDN dan kementerian itu menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, katanya, KDN perlu memastikan pelaksanaan keputusan berkenaan mengikut landasan undang-undang bagi mengelakkan sebarang implikasi perundangan.
“Kalau ada dua interpretasi, mahkamah adalah platform terbaik. Jadi, KDN akan akur dan hormati perkara itu,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya istilah pelepasan itu ditafsirkan secara literal, Jabatan Penjara tidak lagi mempunyai kuasa menahan Najib, sekali gus berpotensi menimbulkan isu penahanan salah sekiranya bekas perdana menteri itu terus ditempatkan di bawah tahanan rumah.
Sehubungan itu, KDN mendapatkan pandangan Peguam Negara sebelum isu berkenaan dibawa untuk penentuan mahkamah.
Beliau menegaskan, kementerian tidak pernah mengeluarkan kenyataan menolak keputusan Lembaga Pengampunan, sebaliknya hanya mahu memastikan percanggahan tafsiran dalam dokumen perundangan diselesaikan terlebih dahulu.










