KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar perlu mengambil cuti sementara atau meletakkan jawatan bagi mengelakkan persepsi konflik kepentingan apabila kertas siasatan polis terhadapnya dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata kedudukan Dusuki sebagai individu yang menjadi subjek siasatan menimbulkan persoalan apabila jabatan yang diketuainya turut bertanggungjawab meneliti hasil siasatan berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu boleh mencetuskan persepsi wujudnya layanan tidak adil atau pilih kasih dalam proses siasatan.
Justeru, beliau berpandangan Dusuki perlu mengambil langkah berundur sementara daripada tugas menerusi cuti pentadbiran (garden leave) atau meletakkan jawatan.
“Sekarang ini seluruh negara sudah ada laporan polis terhadap Peguam Negara. Polis siasat? Lepas polis siasat, kertas siasatan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara.
“Ya, jabatan yang sama yang akan lihat dan putuskan kertas siasatan ke atas Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan polis terhadap Dusuki susulan kenyataan AGC berhubung isu pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Semalam, Sekretariat Wanita UMNO Bahagian Jeli dilaporkan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli berhubung dakwaan arahan penangguhan pelaksanaan pengampunan terhadap Najib yang didakwa bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
Selain itu, UMNO Bahagian Machang dan PAS Kawasan Machang turut membuat laporan polis terhadap Dusuki berhubung isu sama.










