PUTRAJAYA: Pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak lagi berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan perpaduan diminta berundur daripada Jemaah Menteri secara sukarela, tanpa perlu menunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan memecat mereka.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, berkata pemimpin BN perlu menunjukkan prinsip dan pendirian jelas sekiranya tidak lagi menerima kepimpinan Anwar, bukannya terus mengkritik kerajaan sambil mengekalkan kedudukan dalam pentadbiran.
Beliau menyifatkan tindakan sedemikian sebagai tidak berprinsip kerana mengambil kesempatan untuk terus berada dalam kerajaan, meskipun pada masa sama memburukkan kepimpinan negara.
“Kalau rasa sudah kuat dan tidak boleh menerima Anwar sebagai perdana menteri, tunjukkan harga diri. Jika asyik mengkritik dan memburukkan kerajaan, sila keluar. Tiada siapa yang menghalang.
“Mereka ini jenis yang mahu mengambil kesempatan, hendak kekal dalam kerajaan, tetapi pada masa sama mengkritik kerajaan. Ini sikap tidak berprinsip,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan, hari ini.
Khalid mengulas tindakan beberapa pemimpin BN yang mengkritik kepimpinan Anwar, termasuk kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 27 September lalu bahawa kerjasama gabungan itu dengan kerajaan perpaduan akan ditamatkan sebaik Parlimen dibubarkan.
Dalam perkembangan lain, Khalid yang juga Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan berkata, parti itu menyasarkan beberapa kerusi Parlimen bukan milik Pakatan Harapan (PH) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk Putrajaya, Titiwangsa dan Labuan.
“Kalau ditawarkan, memang kita sanggup,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata perbincangan mengenai agihan kerusi PRU16 masih terlalu awal kerana parti ketika ini memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.










