KUALA LUMPUR: UMNO mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan asas undang-undang penangguhan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak, termasuk bila isu tafsiran perintah pengampunan bersyarat itu mula dikenal pasti.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata penjelasan juga perlu diberikan berhubung tindakan membangkitkan isu tafsiran berkenaan selepas bayaran denda direkodkan dan perintah Mahkamah Tinggi dikeluarkan.
Menurutnya, UMNO memandang serius persoalan yang dibangkitkan peguam Najib, memandangkan bayaran denda RM50 juta telah direkodkan, perintah tahanan rumah dikeluarkan mahkamah dan kediaman bekas perdana menteri itu diwartakan sebagai penjara.
“Titah pengampunan bersyarat dan perintah Mahkamah Tinggi hendaklah dihormati dan diberi kesan menurut undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Azalina turut menegaskan AGC perlu segera menjelaskan asas undang-undang bagi penangguhan berkenaan, selaras dengan kedudukannya sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan dan peranannya dalam proses Lembaga Pengampunan.
Terdahulu, firma guaman Shafee & Co berpandangan mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 18 September merupakan saluran sewajarnya bagi AGC membangkitkan sebarang kebimbangan mengenai terma perintah pengampunan.
Firma itu turut menegaskan AGC tidak mempunyai kuasa menangguhkan prerogatif pengampunan diraja, manakala sebarang persoalan berkaitan perintah mahkamah perlu dibawa ke mahkamah.
Sebelum ini, AGC berpandangan pelaksanaan tahanan rumah Najib wajar ditangguhkan sementara sehingga penelitian dan penjelasan lanjut mengenai tafsiran perintah pengampunan bersyarat serta kesan order of discharge diselesaikan.
Perkembangan itu menyusul kenyataan peguam Najib, Farhan Shafee, bahawa Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah tahanan rumah terhadap anak guamnya selepas denda RM50 juta diselesaikan.
Najib dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, sebelum mendapat pengurangan hukuman menerusi pengampunan diraja pada Januari 2024.
Pada September tahun ini, Najib menerima pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat ditetapkan.










