KUALA LUMPUR: Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan proses pembebasan bapanya untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah, meskipun bayaran denda RM50 juta sudah diselesaikan.
Nooryana atau lebih dikenali sebagai Yana berkata, keluarganya sudah memenuhi apa yang difahami sebagai syarat dalam Perintah Pengampunan Bersyarat Yang di-Pertuan Agong, termasuk melunaskan bayaran denda berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, keluarga mereka dimaklumkan bahawa AGC mengeluarkan kenyataan berhubung penangguhan proses pembebasan Najib selepas perintah mahkamah berkaitan diserahkan kepada pihak Penjara Kajang.
“Kalau ada syarat lain, kenapa? Kenapa tak dimaklumkan dari awal? Dan kalau masih ada halangan, kenapa terima bayaran RM50 juta itu hari ini?” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook pada malam Jumaat.
Menurut Yana, beliau sendiri berada di luar mahkamah pada pagi Jumaat ketika bayaran denda RM50 juta yang diselesaikan oleh UMNO dibuat.
Selepas pembayaran itu, katanya, keluarga menerima perintah mahkamah berkaitan pelepasan Najib yang kemudiannya dibawa ke Penjara Kajang.
Beliau berkata, keluarga pada awalnya dimaklumkan bahawa bapanya akan dibawa pulang sekitar jam 5 petang sebelum waktu itu berubah kepada 8.30 malam.
Bagaimanapun, sekitar jam 2 petang, mereka menerima maklumat bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang berusaha menangguhkan pembebasan Najib.
Yana berkata, keluarganya masih yakin Najib dapat dibawa pulang kerana memahami bahawa perintah mahkamah yang telah dikeluarkan sepatutnya mencukupi dari segi prosedur.
Perkembangan itu bagaimanapun berubah selepas AGC mengeluarkan kenyataan bahawa pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib wajar ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan perintah pelepasan mahkamah.
Dalam kenyataannya, AGC menjelaskan terdapat dua kemungkinan tafsiran undang-undang berhubung pembayaran denda RM50 juta itu.
Pertama, pembayaran berkenaan hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028, dengan tahanan rumah menjadi kaedah alternatif untuk menjalani baki hukuman.
Kedua, pembayaran RM50 juta itu merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya sehingga keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap selesai.
AGC turut menjelaskan bahawa perkara itu mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara Najib dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memandangkan hukuman bagi kes berkenaan ditetapkan bermula selepas selesai hukuman penjara bagi kes SRC International.
Sehubungan itu, AGC berpandangan penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan selanjutnya diambil, manakala Najib kekal di tempat tahanan sedia ada sepanjang tempoh penangguhan.
Mengulas perkembangan itu, Yana berkata, beliau tidak mahu mengulas panjang mengenai aspek perundangan dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pasukan peguam keluarga.
Bagaimanapun, beliau meluahkan kekecewaan kerana keluarganya mendakwa sudah mengikuti segala proses yang ditetapkan, termasuk mengumpulkan dana dan menjelaskan bayaran denda berkenaan.
“Sebagai seorang anak, saya memang sangat kecewa. Kami dah ikut apa yang telah ditetapkan dalam perintah pengampunan bersyarat Tuanku.
“Kami kumpul dana, kami bayar RM50 juta denda, kami ikut proses yang ditetapkan,” katanya.
Yana turut menyifatkan perkembangan terbaharu itu mengingatkan keluarganya kepada pengalaman sebelum ini berhubung titah adendum yang membabitkan permohonan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
Menurutnya, keluarganya berulang kali berdepan ketidakpastian dan penangguhan setiap kali merasakan bapanya semakin hampir untuk pulang.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada Tabung Solidariti Datuk Seri Najib, tanpa mengira jumlah sumbangan.
Katanya, sokongan orang ramai amat bermakna kepada keluarganya dalam usaha mengumpulkan dana bagi melunaskan denda berkenaan.
Yana turut berkongsi kesedihan apabila terpaksa menjelaskan kepada anak-anak kecil dalam keluarga mengapa datuk mereka masih belum dapat pulang seperti yang dijangkakan.
“Kami cuma memohon keadilan, ketulusan. Kami nak perintah Tuanku dihormati dan kedaulatan undang-undang ditegakkan,” katanya.
Beliau turut meminta Najib supaya terus kuat menghadapi situasi berkenaan dan menegaskan keluarganya masih berusaha membawa bapanya pulang.
Yana turut menyeru penyokong Najib supaya terus bersuara, mengemukakan persoalan serta menuntut keadilan dan ketelusan, namun menegaskan usaha itu bukan bertujuan menyebarkan kebencian.










