Pembangunan Di Puncak Alam Dihentikan Serta-merta, Mitigasi Banjir Dipercepat

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengarahkan semua kerja pembangunan di Puncak Alam dihentikan serta-merta sehingga pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) selesai dinilai semula susulan kejadian banjir yang semakin membebankan penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai langkah memastikan aspek keselamatan dan risiko banjir diberi perhatian serius sebelum sebarang pembangunan diteruskan.

Pada masa sama, Jalan Batu Arang di Rawang akan ditutup sementara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berikutan kejadian runtuhan tebing bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan.

Amirudin berkata, semua projek mitigasi banjir di seluruh Selangor, sama ada berskala kecil atau besar, khususnya di kawasan berisiko tinggi, perlu dipercepatkan tanpa terikat kepada jadual pelaksanaan biasa.

Katanya, langkah itu perlu diberi keutamaan memandangkan hujan dijangka berlaku hampir setiap hari ketika negara berdepan cabaran perubahan iklim.

“Kita sedang menghadapi krisis perubahan iklim dan budaya kerja mitigasi banjir perlu sepadan dengan cabaran yang sedang dihadapi agar sebarang kemudaratan kepada rakyat dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan negeri memahami kesulitan penduduk yang terpaksa berdepan banjir akibat hujan berterusan, termasuk mereka yang berulang-alik ke tempat kerja serta menguruskan urusan persekolahan anak-anak.

Justeru, katanya, teguran dan kritikan rakyat terhadap agensi kerajaan tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu dijadikan dorongan untuk mempertingkatkan tindakan menangani banjir serta mengelakkan kejadian sama terus berulang.

“Rakyat tidak mampu mendengar alasan daripada mana-mana agensi sekiranya banjir berlaku, sebaliknya mereka mahu hidup secara selamat tanpa perlu risau tentang keselamatan diri ataupun keluarga tersayang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri akan mempercepatkan penyaluran bantuan kepada mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), selain mempergiat kerja pembersihan dan pembaikan kediaman menerusi agensi negeri serta Yayasan MBI.

Mangsa banjir yang berada di PPS juga akan menerima bantuan sehingga RM1,500 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan kerajaan negeri bagi meringankan beban kewangan mereka sementara menunggu kediaman dibaik pulih.

Selain itu, amaran awal akan disalurkan kepada pengguna jalan raya di lokasi berisiko mengalami kenaikan paras air, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarahkan mempercepatkan kerja pengalihan aliran air.

Amirudin berkata, semua agensi berkaitan turut dipertanggungjawabkan untuk mempercepatkan kerja penyelenggaraan sistem saliran, termasuk longkang dan sungai, tanpa sebarang kelewatan.

BBerkaitan

Latest articles