Tahanan Rumah Najib: Muhyiddin Persoal Asas Undang-Undang

HANG TUAH JAYA: Ketiadaan penjelasan tuntas mengenai asas undang-undang pelaksanaan tahanan di rumah terus menimbulkan persoalan apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa beliau sendiri tidak mengetahui peraturan yang digunakan bagi membolehkan mekanisme itu dilaksanakan, sekali gus menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tampil menjelaskan kedudukan sebenar kepada rakyat.

Beliau berkata, setakat pengetahuannya, belum ada undang-undang khusus yang menetapkan tatacara dan peraturan pelaksanaan tahanan di rumah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai asas perundangan yang diguna pakai ketika ini.

“Kalau belum ada undang-undang, atas peraturan apa yang sedia ada. Kalau perlu ada undang-undang khas, patut undang-undang itu mesti digubal dan juga dibawa ke Parlimen.

“Tapi sementara ini, saya tak tahu apa asas peraturan yang diguna pakai untuk membolehkan tahanan rumah itu dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pada satu program di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan pernah memegang jawatan Menteri Dalam Negeri berkata, penjelasan berhubung perkara itu penting bagi memastikan rakyat memahami konsep tahanan di rumah, termasuk peraturan serta batasan yang perlu dipatuhi individu yang menjalani hukuman berkenaan.

Katanya, aspek pelaksanaan tahanan di rumah juga perlu diperincikan, termasuk sama ada ia tertakluk kepada peraturan seperti yang dikuatkuasakan dalam sistem penjara.

“Seingat saya, belum ada lagi undang-undang khas yang menentukan peraturan tentang tahanan rumah ini.

“Dia bebas boleh buat apa dia suka atau terhad. Ada sekatan-sekatan ke, baik dari segi fizikal dan juga cara-cara dia dikatakan ditahan di rumah,” katanya.

Persoalan mengenai asas pelaksanaan tahanan di rumah itu timbul susulan kenyataan peguam Datuk Seri Najib Razak, Farhan Shafee, bahawa Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu selepas penyelesaian bayaran denda RM50 juta.

Umno sebelum ini memaklumkan parti itu telah melunaskan denda berkenaan yang dikenakan terhadap bekas presidennya.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau ketika itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Bagaimanapun, pada Januari 2024, pengampunan diraja mengurangkan tempoh hukuman penjaranya kepada separuh, selain menurunkan jumlah denda kepada RM50 juta.

Pada September tahun ini, satu lagi pengampunan bersyarat diberikan kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada penyelesaian denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan.

BBerkaitan

Latest articles